ad
AGENDA

Lawan ketagihan gajet: Taska pilih jalan kreatif pulihkan anak-anak

7 Jun 2025, 10:00 AM
Lawan ketagihan gajet: Taska pilih jalan kreatif pulihkan anak-anak
Lawan ketagihan gajet: Taska pilih jalan kreatif pulihkan anak-anak
Lawan ketagihan gajet: Taska pilih jalan kreatif pulihkan anak-anak
Lawan ketagihan gajet: Taska pilih jalan kreatif pulihkan anak-anak
Lawan ketagihan gajet: Taska pilih jalan kreatif pulihkan anak-anak

Oleh Nur Azyyati Omar

SHAH ALAM, 7 JUN: Bagi menangani cabaran ketagihan gajet dalam kalangan kanak-kanak, taska dan tadika berdaftar di Selangor kini mengambil pendekatan lebih kreatif dan berstruktur bagi memupuk semula minat anak-anak terhadap interaksi sosial dan pembelajaran secara langsung.

Presiden Persatuan Taska, Tadika dan Pusat Jagaan Negeri Selangor Mahanom Basri berkata antara pendekatan yang digunakan termasuk memperkenalkan sesi bercerita, aktiviti seni kreatif, permainan fizikal dan komunikasi dua hala.

[caption id="attachment_704574" align="aligncenter" width="815"] Presiden Persatuan Taska, Tadika dan Pusat Jagaan Selangor Mahanom Basri ditemui ketika Seminar Pemerkasaan Ekonomi Penjagaan Selangor 2025 di Ballroom Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz, Shah Alam pada 26 April 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]

"Kami ikut kurikulum seperti Kurikulum PERMATA Negara dan Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK), tetapi pengusaha diberi fleksibiliti menambah nilai dengan pendekatan yang lebih dinamik.

"Kita mahu tarik minat anak-anak melalui aktiviti yang menyeronokkan, bukan hanya bergantung pada skrin," katanya kepada Media Selangor baru-baru ini.

Tambah beliau, sesi bermain dan bercerita bukan sahaja dapat mengurangkan kebergantungan kepada gajet, tetapi juga membantu perkembangan bahasa, emosi dan sosial kanak-kanak.

Naib Presiden Persatuan berkenaan Siti Ashiah Osman pula menjelaskan bahawa ketagihan gajet menyebabkan sesetengah kanak-kanak sukar memberi tumpuan, lambat bertutur dan kurang bersosial.

[caption id="attachment_704575" align="aligncenter" width="782"] Naib Presiden Persatuan Taska, Tadika dan Pusat Jagaan Selangor Siti Ashiah Osman ditemui ketika Seminar Pemerkasaan Ekonomi Penjagaan Selangor 2025 di Ballroom Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz, Shah Alam pada 26 April 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]

"Anak-anak sekarang anggap gajet sebagai 'kawan baik'. Ini sebab mereka terlalu lama di hadapan skrin dan kurang bergaul. Jadi, kami galakkan guru dan penyelia taska hadiri kursus untuk faham keperluan sebenar kanak-kanak," katanya.

Beliau turut menyarankan agar ibu bapa memainkan peranan lebih aktif dengan menetapkan masa penggunaan gajet di rumah serta memastikan anak-anak mempunyai rutin yang seimbang.

Sementara itu, Pengusaha Tadika dan Taska Anjung Pelangi Maimanah Sharaani berkongsi bahawa ketagihan gajet boleh menjejaskan tingkah laku anak hingga berlaku tantrum apabila diminta berhenti menggunakan peranti.

[caption id="attachment_704577" align="aligncenter" width="715"] Pengusaha Tadika dan Taska Anjung Pelangi Maimanah Sharaani ditemui ketika Seminar Pemerkasaan Ekonomi Penjagaan Selangor 2025 di Ballroom Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz, Shah Alam pada 26 April 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]

"Ada yang mengamuk jika tak dapat tengok kartun waktu tertentu. Jadi guru perlu bijak alih perhatian dengan aktiviti menarik seperti menyanyi, bermain peranan dan aktiviti luar bilik darjah."

Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, penggunaan gajet dalam kalangan kanak-kanak dan remaja meningkat daripada 18.4 peratus pada 2016 kepada 47 peratus pada 2020. Laporan 2024 pula menunjukkan 9 daripada 10 kanak-kanak di Malaysia mengalami ketagihan media sosial.

Melihat kepada trend ini, pengusaha taska dan tadika di Selangor terus komited menyediakan suasana pembelajaran lebih sihat dan seimbang, dengan kerjasama rapat antara pendidik dan ibu bapa.

"Kami percaya jika pendekatan di rumah dan taska selari, anak-anak akan lebih mudah pulih daripada kebergantungan pada skrin," kata Mahanom.

Persatuan tersebut turut merancang bengkel kesedaran kepada ibu bapa bagi membina kesedaran lebih luas tentang kesan jangka panjang gajet kepada perkembangan anak-anak.

[caption id="attachment_704580" align="aligncenter" width="799"] Penggunaan gajet yang berlebihan bukan sahaja menjejaskan perkembangan fizikal dan kognitif anak, malah turut memberi impak negatif kepada emosi serta kemampuan mereka untuk berinteraksi secara sosial dengan persekitaran sekeliling. Foto NABIHAH HAMID/MEDIA SELANGOR[/caption]

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.