SHAH ALAM, 7 JUN: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor berkenan berangkat menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, bersama kira-kira 10,000 jemaah.
Keberangkatan tiba Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj kira-kira jam 7.35 pagi dengan persalinan baju melayu rona kelabu diiringi Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin.
Ketibaan Baginda disambut Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersama barisan kepimpinan negeri termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin, EXCO Hal Ehwal Agama Islam Dr Mohammad Fahmi Ngah dan EXCO Usahawan Mohd Najwan Halimi.
Sultan Sharafuddin turut berkenan bertakbir bersama jemaah sebelum menunaikan solat sunat Aidiladha.
Usai solat sunat Aidiladha, Baginda turut berkenan mendengar khutbah Aidiladha disampaikan Timbalan Mufti Selangor Dato' Prof Madya Dr Miszairi Sitiris bertajuk Berkorban Atau Terkorban.
[caption id="attachment_704631" align="aligncenter" width="1153"] Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menunaikan solat sunat Aidiladha bersama rakyat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada 7 Jun 2025. Turut bersama Baginda, Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Antara pengisian khutbah termasuk pengajaran untuk dijadikan panduan dalam kehidupan umat Islam, memahami pengorbanan yang hakiki ialah ketaatan mutlak kepada perintah Allah tanpa syarat, walaupun ia menuntut sesuatu yang menguji jiwa dan perasaan, sebagaimana berlaku pada Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail.
Selain itu, mengorbankan segala unsur yang menjauhkan diri dari Allah sebelum ia menjadi sebab kecelakaan di dunia dan di akhirat serta bersyukur dengan mengangkat syiar Islam melalui pelaksanaan ibadah haji atau korban bagi yang berkemampuan, sebagai tanda ketaatan dan pengabdian diri kepada Allah serta menzahirkan semangat kebersamaan dan keprihatinan terhadap golongan memerlukan.
Solat sunat yang diadakan di masjid itu meriah dengan kehadiran umat Islam sekitar, sejak jam 7.00 pagi yang turut sama meraikan sambutan Aidiladha di Selangor.
Bagi sumbangan ibadah korban tahun ini, Kerajaan Selangor menyumbang 1,000 kambing dan 700 lembu kepada surau, masjid dan badan masyarakat. Ia diteruskan bagi menggalakkan masyarakat khususnya mereka kurang berkemampuan melaksanakan ibadah itu.
[caption id="attachment_704630" align="aligncenter" width="892"] Jemaah mendengar khutbah selepas menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada 7 Jun 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]