Kaki kaku saat menjejak Tanah Suci, sering kali tersesat dan tidak jumpa Kaabah. Itu antara kisah menakutkan sering didengari mutawif, Syed Mohamad Safuan Syed Hashim Al-Khered, 38, ketika kecil.
Anak kelahiran Pahang itu pada awalnya begitu khuatir hendak ke Makkah. Pelbagai kisah dari mulut ke mulut terpahat di memori termasuk perbuatan jahat akan dibayar tunai ketika di sana.
“Memang banyak kisah ngeri yang didengar, sebab itu saya takut kalau orang cakap nak ke sana. Tapi takdir Allah itu lebih manis.
“Siapa sangka saya ditakdirkan menjadi mutawif hampir 13 tahun. Direzekikan Allah menjadi antara tetamu paling kerap ke rumah Allah,” katanya berkongsi kisah sempena sambutan Aidiladha pada 7 Jun ini.
Bagaimanapun, perasaan takutnya itu berubah 360 darjah, setelah mengerjakan umrah bersama keluarga pada 2012. Kali pertama terpandang Kaabah, air matanya berjurai deras.
Ketika itu niatnya hanya ingin menjadi mutawif. Tiada cita-cita lain. Hatinya tenang ketika di bumi barakah itu.
[caption id="attachment_704615" align="aligncenter" width="746"] Syed Mohamad Safuan Syed Hashim Al-Khered, 38, menjadi mutawif hampir 13 tahun. Foto Syed Mohamad Safuan Syed Hashim Al-Khered[/caption]
Bukan mudah menjadi pengendali jemaah haji dan umrah. Bapa kepada empat anak itu sentiasa meletakkan kesabaran sebagai kunci utama saat menghadapi cabaran tugas. Kalau ada perasaan tidak elok, cepat-cepat istighfar agar Allah ampun dan permudahkan.
Kejadian aneh pada 2019 masih segar dalam ingatannya sehingga hari ini. Hampir setiap hari seorang jemaah yang dibawa tidak berpuas hati dengan lokasi bermalam di Mina, salah satu lokasi wajib bermalam dalam ibadah haji.
Setiap hari jemaah tersebut mengeluh tempat terlalu padat, hendak mandi susah. Nak buang air pun kena beratur panjang. Semuanya susah. Tiada yang senang bagi dia. Mutawif yang mendengar rungutannya setiap hari juga perlu bersabar.
“Masih saya ingat pada 10 Zulhijjah, hujan betul-betul lebat. Jarang hujan lebat di Makkah. Tetapi anehnya pada waktu itu hanya tilam jemaah tersebut sahaja dibasahi hujan. Tilam jemaah lain yang dekat dengannya langsung tidak basah.
“Jadi apa ibrah (pengajaran) boleh dijadikan ikhtibar? Jika di Tanah Suci apa yang penting adalah jaga lisan, hati dan niat supaya tidak terpesong,” katanya yang kini berada di Makkah ketika dihubungi Media Selangor pada 28 Mei.
Jemaah sesat
Menjaga kumpulan jemaah dengan sebaik-baiknya adalah tanggungjawab besar seorang mutawif. Bukan sekadar pemandu ibadah di Tanah Suci, tetapi hakikatnya mereka penjaga amanah, pelindung dan penenang hati bagi ribuan tetamu Allah.
Jemaah tersesat antara cabaran besar. Bayangkan mencari seorang jemaah di tengah lautan manusia yang berpakaian sama. Bukan sahaja mencabar fizikal, tetapi juga emosi dan mental.
Ujian itu dilalui Safuan ketika di Mina usai melontar Jamratul Kubra. Tiga individu hilang dipercayai tersesat dalam tapak khemah jemaah Indonesia.
“Bayangkan waktu itu sangat panas, perjalanan jauh. Kawasan jemaah Indonesia sangat luas dan semua berpakaian sama. Kami mencari dalam panas terik. Cumanya sekarang lebih mudah kerana ada telefon. Tetapi ia masih mencabar kesabaran.
“Namun mengenangkan ini adalah amanah, maka kami kena letakkan sabar sebagai keutamaan. Penat lelah itu biasa, kerana kita akan berhadapan pelbagai ragam,” ceritanya yang mesra dipanggil Ustaz Safuan dalam kalangan jemaah.
Mutawif adalah wira senyap di Tanah Suci. Dalam setiap jemaah yang pulang dengan selamat dan dipenuhi kenangan indah, besar pengorbanan mereka. Setiap ragam jemaah ditangani dengan baik dan berhemah.
[caption id="attachment_704616" align="aligncenter" width="999"] Syed Mohamad Safuan menerangkan sejarah kota suci Makkah kepada jemaah umrah yang dipimpinnya. Foto Syed Mohamad Safuan Syed Hashim Al-Khered[/caption]