ad
AGENDA

Jamarat lima tingkat permudah ibadah melontar, tampung lebih 300,000 setiap jam

6 Jun 2025, 10:30 PM
Jamarat lima tingkat permudah ibadah melontar, tampung lebih 300,000 setiap jam

MINA, 9 JUN: Kemudahan moden Jamarat merupakan antara projek pembangunan paling signifikan yang dilaksanakan Arab Saudi di Tanah Suci.

Menurut Agensi Berita Saudi (SPA), kemudahan itu mewakili kemajuan besar dalam pengurusan pergerakan jemaah haji, dengan memenuhi piawaian kejuruteraan dan organisasi bertaraf antarabangsa tertinggi.

Ia mempunyai kapasiti lebihi 300,000 jemaah setiap jam, sekali gus membolehkan pergerakan yang lancar dan selamat semasa kemuncak ibadah melontar jamrah sepanjang Hari Tasyriq.

Setiap tahun pada hari ini, kawasan Jamarat di Mina menyaksikan kehadiran kumpulan besar jemaah yang melaksanakan ibadah melontar dalam suasana spiritual yang mencerminkan ketakwaan dan meneladani sunnah Nabi Muhammad SAW.

Pada asalnya, kawasan Jamarat terdiri daripada tiang-tiang batu kecil yang dikelilingi ruang sempit dan laluan terhad, yang sering menyebabkan kesesakan dan kesukaran untuk melaksanakan ibadah, khususnya dengan peningkatan jumlah jemaah saban tahun.

Kini, kawasan itu telah berubah menjadi mercu tanda seni bina bersepadu yang merangkumi lima tingkat dengan panjang 950 meter dan lebar 80 meter. Ia dilengkapi 386 eskalator, 11 bangunan untuk eskalator, jambatan pelbagai hala, laluan masuk dan keluar khusus, laluan kecemasan serta sistem penyejukan dan pemantauan canggih.

-- BERNAMA-SPA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.