SHAH ALAM, 6 JUN: Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan menyampaikan pandangan mendalam mengenai kepimpinan, tadbir urus dan pemberdayaan belia dalam sesi dialog khas di Worcester College, Universiti Oxford, kelmarin.
Berlangsung di Sultan Nazrin Shah Centre, dialog yang dipengerusikan oleh rektor kolej berkenaan dihadiri pelajar, ahli akademik, profesional serta diaspora Malaysia di United Kingdom.
Dalam ucapannya, Tengku Amir Shah berkongsi pengalaman peribadi dalam dunia kepimpinan serta visi penubuhan Selangor Youth Community (SAY), sebuah inisiatif untuk mengangkat potensi belia dalam bidang keusahawanan, seni, sukan dan pembangunan komuniti.
[caption id="attachment_704560" align="aligncenter" width="796"] Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berucap dalam sesi dialog khas di Worcester College, Universiti Oxford pada 4 Jun 2025. Foto Selangor Youth Community (SAY)[/caption]
Baginda menegaskan bahawa pemberdayaan belia harus disertai dengan penanaman nilai tanggungjawab dan matlamat bersama yang jelas demi masa depan yang gemilang.
Sebagai Felo Kepimpinan Transformasi di Blavatnik School of Government, Universiti Oxford, Baginda menekankan pentingnya mempelajari amalan terbaik kepimpinan dan tadbir urus di peringkat global untuk disesuaikan dengan konteks Malaysia dan Selangor.
Tengku Amir Shah turut menyeru usaha merapatkan jurang teknologi tanpa mengorbankan identiti budaya dan menggalakkan kerjasama antara kementerian untuk mewujudkan pentadbiran yang inklusif dan berpaksikan rakyat.
[caption id="attachment_704561" align="aligncenter" width="761"] Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan meluangkan masa berbual mesra bersama hadirin selepas sesi dialog khas di Worcester College, Universiti Oxford pada 4 Jun 2025. Foto Selangor Youth Community (SAY)[/caption]
Baginda berkongsi visi institusi diraja yang lebih terbuka, dekat dengan rakyat melalui sesi dialog dan pertemuan langsung akan memperkukuh hubungan antara rakyat dan institusi diraja.
“Kepimpinan bukan soal jawatan, tetapi soal khidmat. Ia bermaksud mendengar, kekal merendah diri, dan menggunakan pengaruh kita untuk membina platform agar orang lain turut berjaya,” titah baginda.
Sifat rendah diri menjadi teras utama kepimpinan menurut baginda, yang menyeru para pemimpin agar sentiasa memahami dan mendengar suara rakyat.
“Pemimpin, tanpa mengira tahap atau kedudukan, harus sentiasa berpijak di bumi nyata walaupun memegang kuasa — kerana pada akhirnya, kita memimpin untuk berkhidmat kepada rakyat,” titah Baginda lagi.
Sesi dialog itu memaparkan gambaran jelas pendekatan DYTM Tuanku sebagai figura diraja moden yang aktif memperkasakan masyarakat dan membawa aspirasi belia ke pentas antarabangsa.
[caption id="attachment_704549" align="aligncenter" width="787"] Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah bergambar bersama pelajar ketika berkenan mengadakan Sesi Dialog Diraja bersama diaspora Malaysia di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London, United Kingdom pada 4 Jun 2025. Foto Selangor Youth Community (SAY)[/caption]
Terdahulu, Tengku Amir Shah merangkap Pengasas SAY berkenaan mengadakan lawatan kerja strategik di London pada 3 hingga 4 Jun.
Lawatan dua hari Baginda bertujuan memperkukuh visi badan itu dalam membina sistem inklusif dan berpaksikan belia, selain pemahaman mendalam terhadap amalan terbaik antarabangsa.
[caption id="attachment_704293" align="aligncenter" width="811"] Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah merangkap Pengasas Selangor Youth Community (SAY) ketika mengadakan lawatan kerja strategik di Suruhanjaya Tinggi Malaysia, London pada 3 hingga 4 Jun 2025. Foto SAY[/caption]