ad
AGENDA

Wartawan Palestin maut dalam serangan Israel ke atas khemah media Gaza

6 Jun 2025, 6:22 PM
Wartawan Palestin maut dalam serangan Israel ke atas khemah media Gaza

ANKARA, 6 JUN: Seorang wartawan foto Palestin menjadi mangsa terbaharu serangan udara Israel ke atas khemah media di Hospital Al-Ahli Baptist, Gaza, pada Khamis, menjadikan angka pengamal media yang terbunuh dalam insiden itu meningkat kepada empat, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Sumber perubatan pada Jumaat memaklumkan bahawa wartawan foto Ahmad Qalja meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami selepas serangan dron membunuh tiga wartawan lain dan mencederakan empat lagi.

Pejabat Media Kerajaan di Gaza mengesahkan bahawa dengan kematian Qalja, jumlah wartawan Palestin yang terbunuh dalam serangan Israel sejak 7 Okt 2023, kini mencecah 226.

Angka itu termasuk 30 wartawan wanita dan seorang wartawan dari Tebing Barat yang diduduki.

Serangan itu berlaku sehari selepas Amerika Syarikat memveto draf resolusi Majlis Keselamatan PBB yang menggesa "gencatan senjata segera, tanpa syarat dan berkekalan" di Semenanjung Gaza.

- BERNAMA-ANADOLU

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.