SHAH ALAM, 6 JUN: Seramai 297 peserta dari seluruh negara menyertai Kejohanan Tenis Remaja Terbuka MBPJ-Milo 2025 yang berlangsung selama lima hari bermula 2 Jun lalu.
Unit Komunikasi Korporat Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memaklumkan acara edisi ke-35 di Kompleks Sukan MBPJ, Kelana Jaya merekodkan peningkatan penyertaan berbanding tahun sebelum ini.
“Selangor mendahului jumlah peserta tertinggi seramai 101 orang, diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (93 peserta) dan Negeri Sembilan (28 peserta).
“Kejohanan ini terus mendapat pengiktirafan daripada Persatuan Tenis Malaysia (LTAM) sebagai kejohanan bertaraf ranking remaja kebangsaan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Sebanyak tiga kategori utama dipertandingkan iaitu Perseorangan, Beregu Remaja Lelaki dan Beregu Remaja Perempuan, meliputi kategori umur bermula 8 tahun ke bawah hingga 16 tahun ke bawah.
[caption id="attachment_704555" align="alignnone" width="803"] Antara peserta cilik yang mengambil bahagian dalam Kejohanan Tenis Remaja Terbuka MBPJ-Milo 2025 yang berlangsung selama lima hari bermula 2 Jun lalu di Kompleks Sukan MBPJ Kelana Jaya. Foto Facebook MBPJ[/caption]
Menurut MBPJ, penganjuran kejohanan berkenaan merupakan antara inisiatif jangka panjang pihaknya menerusi program pembangunan sukan tenis remaja yang dilaksanakan sejak 1990.
Selain melahirkan bakat pelapis, katanya, kejohanan tersebut berperanan membentuk jati diri, memupuk disiplin, memperkukuh perpaduan serta menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan remaja serta masyarakat.
Majlis penutup kejohanan disempurnakan oleh Naib Presiden Persatuan Tenis Selangor merangkap pengerusi kejohanan, Tengku Dato' Mohammed Alhaj Tengku Harun, hari ini.
Kejohanan itu turut menerima tajaan daripada Nestle Products Sdn Bhd (Milo), F&N Beverages Marketing Sdn Bhd serta sokongan daripada LTAM, Persatuan Tenis Selangor dan Majlis Sukan Negeri Selangor (MSN).