SHAH ALAM, 6 JUN: Dana RM3.74 juta disalurkan bagi menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 1, maklum Ahli Parlimen Petaling Jaya.
Lee Chean Chung berkata dana sumbangan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan pejabat Parlimen Petaling Jaya diluluskan pada 29 April lalu.
“RM2 juta akan disalurkan oleh KPKT melalui peruntukan pembangunan secara berperingkat, merangkumi RM1 juta pada tahun ini dan RM1 juta pada 2026.
“MBPJ dan pejabat Parlimen Petaling Jaya pula menanggung RM1.74 juta. Saya akan memastikan segala proses selenggara berjalan lancar selaras memikul amanah rakyat dengan telus,” kata Lee Chean Chung dalam kenyataan.
Beliau memberitahu pihaknya tekad mencari penyelesaian jangka panjang mengenai isu kerosakan lif yang kerap berlaku di PPR itu bersama pihak berkaitan.
“Saya menyedari bahawa penduduk masih berdepan cabaran lain termasuk masalah lif yang kerap rosak.
“Saya percaya dengan kerjasama semua pihak iaitu kerajaan pusat, pihak berkuasa tempatan dan penduduk, kita boleh membina kawasan perumahan yang lebih selesa dan selamat,” katanya lagi.