ad
AGENSI

Kronologi SIS cabar fatwa pengharaman

6 Jun 2025, 3:34 PM
Kronologi SIS cabar fatwa pengharaman
Kronologi SIS cabar fatwa pengharaman

SHAH ALAM, 6 JUN: Keputusan akhir cabaran Sisters In Islam (SIS) Forum (Malaysia) kepada fatwa dikeluarkan pihak berkuasa agama Islam Selangor bakal diputuskan Mahkamah Persekutuan pada 19 Jun ini.

Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) hari ini dalam kenyataan meminta semua masjid dan surau yang dibenarkan melakukan solat Jumaat untuk melaksanakan solat hajat khusus pada hari ini dan Jumaat minggu depan.

Berikut adalah kronologi pengeluaran fatwa diwartakan Kerajaan Negeri dan cabaran SIS di mahkamah.

31 Julai 2014

Kerajaan Selangor mewartakan fatwa mengisytiharkan SIS Forum Malaysia, individu dan kumpulan yang mengamalkan fahaman liberalisme serta pluralisme sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.

Fatwa itu juga mengarahkan mana-mana penerbitan yang mengandungi pandangan liberal dan plural hendaklah diharamkan serta dirampas selain meminta Suruhanjaya Komunikasi Multimedia dan Komunikasi (SKMM) menapis laman sesawang sosial yang bercanggah dengan ajaran Islam serta hukum syarak.

[caption id="attachment_704529" align="aligncenter" width="500"] Jemaah menunaikan solat sunat hajat khas bagi memohon kebaikan dan pertolongan dalam urusan kes Makamah Persekutuan melibatkan Sister In Islam (SIS) Forum Malaysia yang mencabar keabsahan fatwa fahaman
liberalisme dan pluralisme agama ketika tinjauan Media Selangor di Masjid Al-Syariff, Gombak pada 6 Jun 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]

31 Oktober 2014

Pengasas SIS Forum Malaysia Zainah Mahfoozah Anwar dan bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim sebagai plaintif, memfailkan permohonan mencabar keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor yang mengisytiharkan organisasi itu sebagai sesat dan menyeleweng.

Mereka menamakan Jawatankuasa tersebut bersama-sama Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan Kerajaan Selangor sebagai responden selain memohon deklarasi bahawa SIS yang diperbadankan di bawah Akta Syarikat 1965 sebagai ‘company limited by guarantee’.

Plaintif turut memohon perintah 'certiorari' untuk mengenepikan keputusan Jawatankuasa dan Mais yang menyatakan bahawa pertubuhan itu dan mana-mana individu serta kumpulan yang menerima pakai ideologi liberalisme dan pluralisme sebagai menyeleweng daripada ajaran Islam.

Selain itu, plaintif juga memohon mendapatkan pengisytiharan bahawa keputusan responden yang mengarahkan SKMM menyekat laman sesawang sosial yang melanggar ajaran Islam sebagai bercanggah dengan Seksyen 3 (3) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

13 November 2018

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa dukacita terhadap golongan liberal dan khuatir jika tidak dibendung akan menghancurkan agama Islam di negara ini.

“Beta tidak mahu Selangor menjadi pusat penyebaran ideologi dan fahaman-fahaman sesat sebegini.

“Beta mahu Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) memantapkan tindakan penguatkuasaan terhadap semua pihak yang didapati cuba menyebarkan sebarang bentuk fahaman yang bertentangan dengan ajaran Islam atau yang telah difatwakan sesat dan menyeleweng," titahnya di Program Multaqa Sultan Sharafuddin Idris Shah Tahun 2018, Seminar Pemikiran Liberalisme dan Pluralisme Ancaman Terhadap Akidah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di Shah Alam.

27 Ogos 2020

Semua permohonan SIS Forum Malaysia ditolak Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dengan alasan mahkamah sivil tidak mempunyai bidang kuasa berkaitan hukum syarak dalam undang-undang syariah.

Menurut Hakim Datuk Nordin Hassan, isu fatwa mempunyai kaitan dengan undang-undang syariah dan terletak di bawah bidang kuasa eksklusif Mahkamah Syariah.

Rayuan kedua-dua plaintif di Mahkamah Rayuan kemudiannya turut ditolak pada 14 Mac 2023 dengan keputusan 2-1 yang dibacakan Hakim Datuk Has Zanah Mehat secara dalam talian.

Turut bersidang ialah Hakim-Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk M Gunalan.

Bagaimanapun, panel terbabit membenarkan permohonan peguam, Datuk Malik Imtiaz untuk menangguhkan sementara perlaksanaan fatwa tersebut sehingga rayuan di Mahkamah Persekutuan selesai.

Untuk rekod, Mahkamah Persekutuan adalah mahkamah tertinggi dalam hierarki badan kehakiman sivil negara. Sekiranya kes tersebut telah sampai ke Mahkamah Persekutuan, tidak ada lagi rayuan yang boleh dibuat kecuali menerusi pengampunan Diraja, bagi kes tertentu.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.