ad
AGENDA

Hamas sedia adakan rundingan baharu capai gencatan senjata berkekalan

6 Jun 2025, 1:26 PM
Hamas sedia adakan rundingan baharu capai gencatan senjata berkekalan

GAZA CITY / ISTANBUL, 6 JUN: Kumpulan Palestin, Hamas menyatakan kesediaan untuk memulakan rundingan baharu dan serius bagi mencapai perjanjian gencatan senjata yang berkekalan, kata Ketua Hamas di Gaza merangkap ketua perunding kumpulan itu, Khalil al-Hayya pada Khamis.

Beliau memaklumkan bahawa hubungan dengan pihak perantara masih diteruskan.

Dalam ucapan yang dirakam, al-Hayya menjelaskan Hamas “tidak menolak cadangan terbaru oleh (utusan khas AS ke Timur Tengah) Steve Witkoff, tetapi hanya mengemukakan beberapa pemerhatian dan penambahbaikan,” lapor Anadolu Ajansi.

“Pindaan yang dicadangkan oleh Hamas bertujuan memastikan pendudukan (Israel) tidak kembali melakukan pengkhianatan, pembunuhan, pencerobohan atau pengusiran paksa, serta menjamin kemasukan bantuan kemanusiaan secara bermaruah untuk rakyat kami,” katanya.

Beliau turut mengumumkan bahawa Hamas bersedia menyerahkan pentadbiran Gaza kepada mana-mana badan Palestin yang profesional dan disepakati.

“Kami terus berusaha bersama semua pihak untuk mencapai satu perjanjian yang berpandukan pendirian tegas mempertahankan hak dan tuntutan asas rakyat kami, yang membawa kepada gencatan senjata kekal, pengunduran penuh pendudukan dari seluruh Semenanjung Gaza, bantuan kemanusiaan segera, dan penamatan sekatan,” tegasnya.

Al-Hayya menuding jari kepada kerajaan Israel, khususnya Perdana Menteri Benjamin Netanyahu sebagai halangan utama mencapai perjanjian, dengan mendakwa Netanyahu “tidak mahu menamatkan peperangan atas sebab peribadi dan ideologi.”

Beliau menekankan bahawa Hamas menunjukkan sikap fleksibel dan positif terhadap pelbagai cadangan.

“Kami menerima kebanyakan cadangan sejak pencerobohan disambung semula pada Mac, termasuk cadangan perantara akhir Mac yang melibatkan pembebasan lima tawanan serta memasuki fasa kedua perjanjian Januari, tetapi pendudukan menolaknya.

“Selepas itu, kami kemukakan pula visi kami untuk satu perjanjian menyeluruh, termasuk pembebasan semua tawanan sebagai pertukaran kepada pengakhiran peperangan, tetapi pendudukan tetap menolaknya,” katanya.

Sebagai isyarat kepada niat baik, al-Hayya berkata Hamas telah membebaskan seorang askar Israel-Amerika, Edan Alexander.

Beliau turut memaklumkan bahawa “Witkoff mengemukakan cadangan seminggu lalu yang melibatkan pembebasan 10 tawanan dan 18 mayat dalam tempoh tujuh hari, tetapi tiada jaminan bahawa pertempuran tidak akan disambung semula pada hari kelapan.

Malah, Netanyahu sendiri menyatakan hasratnya untuk meneruskan perang sebaik sahaja mendapatkan semula semua tawanan.”

Al-Hayya menegaskan bahawa Israel masih mahu mengekalkan kawalan penuh terhadap bantuan kemanusiaan menerusi mekanisme ketenteraan yang ditolak oleh pertubuhan antarabangsa kerana melanggar undang-undang antarabangsa.

“Israel tidak akan terus melakukan pembunuhan beramai-ramai, termasuk terhadap rakyat yang hanya mencari makanan untuk terus hidup seperti yang berlaku baru-baru ini di Rafah, tanpa sokongan ketenteraan dan politik berterusan, termasuk veto AS di Majlis Keselamatan PBB yang menolak resolusi bagi menamatkan sekatan dan membenarkan kemasukan segera bantuan ke Gaza,” tambahnya.

AS sebelum ini memveto empat draf resolusi Majlis Keselamatan yang menuntut gencatan senjata segera di Gaza — pada Oktober 2023, Disember 2023, Februari 2024, dan November 2024 — serta berkecuali dalam undian bagi draf resolusi lain.

-- BERNAMA-ANADOLU

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.