ad
AGENDA

Elak terpedaya badal haji murah, galak ahli keluarga buat sendiri

6 Jun 2025, 12:28 PM
Elak terpedaya badal haji murah, galak ahli keluarga buat sendiri

Oleh Anna Farina Abdul Rauf

SHAH ALAM, 6 JUN: Umat Islam diingatkan berwaspada dan tidak terpedaya dengan tawaran perkhidmatan badal haji murah berbanding harga pasaran bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.

Pensyarah Pengajian Islam Management and Science University (MSU) berkata kos operasi bagi badal haji seperti penginapan, pengangkutan dan urusan ibadah itu lazimnya memerlukan perbelanjaan yang tinggi.

"Secara logik dan rasional, kos operasi atau kos untuk mengerjakan badah haji bukan satu kos yang murah, memerlukan perbelanjaan yang tinggi, banyak syarat yang ditetapkan oleh pihak Arab Saudi perlu dipenuhi antaranya tasrih haji (permit) yang mencecah ribuan ringgit.

"Kita perlu berhati-hati dengan iklan-iklan yang murah, dibimbangi badal haji tersebut tidak dilaksanakan dengan sempurna atau lebih teruk, tidak dilakukan langsung.

"Bayaran yang logik untuk badal haji mungkin sekitar RM5,000 ke atas, tetapi kalau atas daripada paras harga itu, ia lebih bagus," kata Ustaz Mohd Herzali Muhammad Haled pada program Bicara Semasa bertajuk Badal Haji: Amanah & Alternatif Ibadah.

Beliau turut menyarankan individu yang melaksanakan badal haji sebaik-baiknya terdiri daripada ahli keluarga terdekat si mati, bagi memastikan ibadah tersebut dilakukan dengan penuh tanggungjawab dan keikhlasan.

"Ahli keluarga pastinya lebih mengenali arwah dan lebih terikat secara emosi, sekali gus memberi kesungguhan untuk melaksanakan amanah dan ibadah itu dengan sebaik mungkin.

"Namun, jika tiada ahli keluarga yang berkemampuan, barulah boleh dilantik wakil lain yang diyakini amanah dan berpengalaman," jelasnya.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.