SHAH ALAM, 6 JUN: Orang ramai disaran sentiasa berwaspada susulan ramalan hujan di kebanyakan negeri pada Hari Raya Aidiladha 7 dan 8 Jun ini.
Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), hujan dan ribut petir dijangka berlaku pada waktu pagi di Selangor, Johor, Perak, Pulau Pinang, Kedah, Perlis dan Sabah, esok.
Agensi itu di Facebook juga memaklumkan, cuaca cerah diramal pada sebelah petang di Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Putrajaya, Kuala Lumpur dan Labuan.
Pada hari 8 Jun pula, cuaca diramal cerah di Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan, Labuan dan Sarawak.
Pada sebelah petang hari sama, Perak, Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan, Sabah dan Sarawak diramal alami hujan.
MetMalaysia turut mengingatkan agar masyarakat kekal hidrat dan menggunakan air secara berhemat, khususnya ketika melaksanakan ibadah korban yang memerlukan penggunaan air dalam jumlah besar.
Ramalan cuaca khas itu dikeluarkan bagi membantu orang ramai membuat persiapan awal sempena sambutan Hari Raya Aidiladha.
Orang awam dinasihatkan agar sentiasa merujuk laman sesawang rasmi MetMalaysia di www.met.gov.my, untuk mendapatkan maklumat terkini dan tepat.