ad
AGENDA

Taman aero lonjak kedudukan Malaysia dalam rantaian penerbangan global

5 Jun 2025, 7:20 PM
Taman aero lonjak kedudukan Malaysia dalam rantaian penerbangan global
Taman aero lonjak kedudukan Malaysia dalam rantaian penerbangan global

Oleh Yasmin Ramlan

SEPANG, 5 JUN: Taman Aero Selangor (SAP) yang memiliki sambungan pelbagai mod bakal memperkukuh kedudukan Malaysia dalam rantaian penerbangan global, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Menurutnya, integrasi pengangkutan udara, darat dan laut yang ditawarkan akan meningkatkan kecekapan dan memberi kelebihan daya saing kepada pengeksport serta pengeluar

“Apabila laluan perdagangan global berubah dan integrasi ekonomi serantau semakin mendalam, kita sedar bahawa logistik bukan lagi sekadar sistem sokongan — ia kini merupakan aset strategik.

“SAP akan menjadi nadi kepada aset ini, di mana pengangkutan udara, darat dan laut bergerak secara harmoni untuk menyokong pertumbuhan industri dan daya tahan ekonomi,” katanya sempena majlis pecah tanah SAP di sini hari ini.

Loke berkata industri yang bakal beroperasi seperti aeroangkasa dan teknologi hijau menawarkan peluang luas dalam aspek inovasi, pemindahan kemahiran serta penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Jelasnya, ia juga mampu menyediakan peluang pekerjaan, menarik pelaburan asing, dan menjanjikan masa depan berasaskan kemahiran kepada golongan belia.

[caption id="attachment_704424" align="aligncenter" width="812"] Menteri Pengangkutan Antony Loke Siew Fook berucap pada Majlis Pelancaran Selangor Aero Park @KLIA Aeropolis di Selangor Aero Park, Sepang pada 5 Jun 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]

“SAP dibangunkan dengan visi masa depan tersebut — berteraskan infrastruktur pintar, sambungan digital dan kemudahan perdagangan yang disokong antara persekutuan dan negeri,” katanya.

Projek berimpak tinggi berkeluasan sekitar 600 ekar merupakan usaha sama antara Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI.

Ia dijangka menarik pelaburan besar dalam pelbagai segmen rantaian bekalan aeroangkasa, yang turut turut berperanan sebagai hab inovasi, pembangunan bakat dan pemindahan teknologi.

SAP merupakan sebahagian daripada visi Pelan Induk Industri Aeroangkasa Malaysia 2030 yang menyasarkan pendapatan tahunan sebanyak RM55.2 bilion daripada sektor berkenaan.

Dengan nilai pembangunan kasar (GDV) dianggarkan mencecah RM2.3 bilion, lokasi strategik SAP turut melibatkan sambungan langsung ke Pelabuhan Klang.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.