ad
BERITA UTAMA

Kreativiti tanpa batas: Ibu bangga anak autisme cipta karya unik

5 Jun 2025, 2:00 PM
Kreativiti tanpa batas: Ibu bangga anak autisme cipta karya unik
Kreativiti tanpa batas: Ibu bangga anak autisme cipta karya unik
Kreativiti tanpa batas: Ibu bangga anak autisme cipta karya unik

OLEH MUHAMMAD REY HAZRIELL

SHAH ALAM, 6 JUN: Ketabahan seorang ibu membesarkan anak istimewa bukan sahaja membuahkan hasil, malah menjadi inspirasi buat orang lain apabila bakat anak mereka kini menyerlah melalui seni dan kemahiran.

Kunasundary Raju, 55, berkata anaknya, John Hananiah, 22, disahkan menghidap autisme selepas menunjukkan beberapa ciri ketika membesar, walaupun pada awalnya hanya dianggap sebagai lembam.

“Ketika dilahirkan, tengkorak John kemik dan dia perlu jalani pembedahan. Bila besar, saya lihat tingkah lakunya berbeza dan akhirnya dia disahkan menghidap autisme.

“Sejak kecil dia suka conteng sana sini. Bila umur 15 tahun, dia mula lukis kartun. Saya nampak minat dia dan terus galakkan,” katanya ketika ditemui pada Festival Kartun dan Animasi Selangor 2025 (SCAF2025) di Perpustakaan Raja Tun Uda, di sini, semalam.

[caption id="attachment_704378" align="aligncenter" width="651"] Kunasundary (kanan), 55 tahun bersama bersama anaknya, John Hananiah (kiri), 26 tahun di Pustaka Raja Tun Uda, Shah Alam pada 4 Jun 2025. Foto AMIR IMRAN/MEDIA SELANGOR[/caption]

Kunasundary menyifatkan anaknya sebagai seorang yang berbakat besar dan sentiasa menyokong minat John agar dapat terus berkarya.

“Saya sangat bersyukur. Dia anak yang baik dan berbakat. Saya akan terus dorong dia melukis,” katanya lagi.

Sementara itu, Shereen Khoo, 69, juga tidak menyangka dua anak lelakinya Cheng Xiang Jian, 31,  dan Cheng Xiang Wei, 28, yang menghidap autisme mampu mengembangkan potensi masing-masing.

Menurutnya, ini tahun kedua mereka menyertai festival kartun dan dia gembira kerana hasil jahitan anak sulungnya, Cheng Xiang Wei, semakin mendapat perhatian.

[caption id="attachment_704303" align="aligncenter" width="673"] Kartunis Zunar meninjau peserta pertandingan mewarna di Festival Kartun Perpaduan Selangor di Pustaka Raja Tun Uda, Shah Alam pada 6 Jun 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR[/caption]

“Ketika anak saya umur belasan tahun, guru sekolah beritahu anak ada bakat menjahit, manakala anak saya lagi seorang, Xiang Qien mahir dalam bidang komputer,.

“Bakat jahitan Xiang Wei sangat halus dan kemas, dan dia mahir secara sendiri tanpa perlu ajaran,” ujarnya tersenyum.

Shereen juga berkongsi bahawa walaupun menghadapi cabaran komunikasi, anak-anaknya sangat berdikari dan selalu membantu urusan harian keluarganya.

Festival anjuran bersama Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI dan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) semalam dirasmikan Ahli Dewan Negeri Kota Damansara Muhammad Izuan Ahmad Kasim.

Pelbagai aktiviti diadakan termasuk bengkel lukisan bersama pelukis Orang Asli, pertandingan mewarna, sesi bersama kartunis Datuk Imuda, persembahan wayang kulit dan slot khas bersama pelukis mistik.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.