ad
AGENDA

Perbandaran Makkah siapkan rangkaian pencahayaan besar-besaran sempena haji

5 Jun 2025, 10:30 AM
Perbandaran Makkah siapkan rangkaian pencahayaan besar-besaran sempena haji

MINA (Arab Saudi), 5 JUN: Perbandaran Makkah menyiapkan pelaksanaan rangkaian pencahayaan yang meluas dan termaju di Arafat, lengkap dengan reka bentuk seni bina yang unik serta teknik pemasangan moden, lapor Agensi Berita Saudi (SPA).

Pada malam Tarwiyah -- sehari sebelum Hari Arafah yang menandakan permulaan rasmi ibadah Haji -- kawasan itu disinari pancaran cahaya yang menakjubkan.

Susun atur pencahayaan yang diselaraskan pihak perbandaran menjadikan Arafat bersinar bagaikan suar, menambahkan suasana rohani dan memberikan ketenangan kepada para jemaah.

Menurut perbandaran itu, rangkaian baharu ini merangkumi sekitar 20,000 unit lampu pelbagai kapasiti, yang dipasang pada kira-kira 5,000 menara dan tiang dalam pelbagai saiz dan bentuk.

Unit-unit lampu diletakkan secara strategik bagi memastikan liputan penuh di semua jalan dan lorong di Arafat, membentuk sistem pencahayaan visual yang menyeluruh.

Rangkaian pencahayaan di tapak suci itu dikemas kini dan diperluas setiap tahun, dengan persiapan awal melibatkan kerja penyelenggaraan menyeluruh.

Bagi musim Haji tahun ini, perhatian khusus diberikan kepada kawasan utama di Arafah, termasuk laluan pejalan kaki dan laluan yang menghubungkan Arafat ke Muzdalifah dan tapak penting lain.

- BERNAMA-SPA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.