ad
AGENDA

Pikap suspek curi kabel TNB terbabas ke parit selepas dikejar polis

4 Jun 2025, 11:03 PM
Pikap suspek curi kabel TNB terbabas ke parit selepas dikejar polis

GEORGE TOWN, 4 JUN: Polis giat mengesan suspek mencuri kabel milik Tenaga Nasional Bhd (TNB) yang melarikan diri selepas pikap dipandunya terbabas ke dalam parit setelah dikejar sejauh lebih 50 kilometer, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Abdul Rozak Muhammad berkata polis menerima aduan berkaitan kecurian kabel di Flat Taman Nusantara di sini pada 3.44 pagi, namun suspek telah melarikan diri dengan memandu kenderaan itu menghala ke Lebuhraya Tun Dr Lim Cheong Eu.

“Unit Kereta Peronda (MPV) telah mengejar suspek bermula dari susur masuk Jambatan Pertama Pulau Pinang menghala ke Seberang Perai sebelum memasuki Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) menghala utara dan suspek tidak mengendahkan arahan untuk memberhentikan kenderaan.

“Pikap itu akhirnya terbabas ke dalam parit bersebelahan kawasan perumahan Permata Hill Park, Bedong, dekat Sungai Petani, Kedah dan suspek melarikan diri ke kawasan hutan berhampiran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Rozak berkata alat pemotong kabel dan beberapa batang kabel ditemukan di bahagian belakang pikap berkenaan.

Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

-- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.