SHAH ALAM, 4 JUN: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah menyeru golongan belia bangkit dengan ketahanan dan semangat komuniti.
Baginda bertitah mengenai perkara itu ketika Sesi Dialog Diraja di Suruhanjaya Tinggi Malaysia, yang disertai pelajar, profesional dan wakil kerajaan di United Kingdom sempena lawatan strategik ke London.
“Baginda turut menekankan peranan penting diaspora sebagai jambatan membawa pulang ilmu, rangkaian dan idea kepada tanah air.
“Menerusi program berkenaan, Raja Muda Selangor berkongsi pengalaman perjalanan kepimpinan Baginda, sejarah penubuhan SAY serta aspirasi membina platform inklusif dan bermaruah untuk belia,” kata Selangor Youth Community (SAY) menerusi kenyataan.
[caption id="attachment_704293" align="alignnone" width="968"] Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah (tengah) merangkap Pengasas Selangor Youth Community (SAY) ketika mengadakan lawatan kerja strategik di London pada 3 hingga 4 Jun 2025. Foto SAY[/caption]
SAY memaklumkan, lawatan dua hari Tengku Amir bertujuan memperkukuh visi badan itu dalam membina sistem inklusif dan berpaksikan belia, selain pemahaman mendalam terhadap amalan terbaik antarabangsa.
Baginda yang juga pengasas SAY turut bertemu barisan pemimpin pemikir, institusi pembangunan belia antarabangsa serta komuniti diaspora Malaysia.
“Pada hari pertama, Baginda mengetuai mesyuarat delegasi Malaysia bersama organisasi global diasaskan Duli Yang Maha Mulia Raja Charles III, King’s Trust International (KTI).
“Mesyuarat membincangkan kerjasama dengan KTI menerusi Team Programme Malaysia bagi membantu belia berisiko seperti bekas pesalah juvana selain penganjuran kejohanan golf amal tahunan SAY serta sokongan pihak berkuasa tempatan.
“Pelan pengembangan masa hadapan turut dibincangkan seperti program jangka pendek 'Get Into' dan potensi pembiayaan baharu melalui HSBC,” katanya.