SHAH ALAM, 4 JUN: Kerajaan Negeri akan menjalankan penilaian prestasi separuh penggal terhadap pimpinan akar umbi bermula bulan ini bagi menilai keberkesanan penyampaian inisiatif kepada rakyat.
Setiausaha Politik Dato’ Menteri Besar berkata seramai 835 individu terlibat dalam proses itu termasuk pegawai penyelaras pusat khidmat, ketua kampung tradisi, kampung baru, komuniti India serta ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT).
Menurut Saifuddin Shafi Muhammad, penilaian tersebut akan mengambil kira hubungan pemimpin dengan masyarakat yang diwakili, di samping laporan serta pandangan agensi yang bekerjasama dengan mereka.
“Hasil penilaian ini akan diguna pakai bagi menentukan sama ada kontrak mereka akan disambung atau tidak bagi lantikan seterusnya.
“Ini turut membantu sebarang cadangan lantikan jawatan selepas pemilihan Parti Keadilan Rakyat 2025 yang menyaksikan beberapa perubahan berlaku di peringkat pimpinan tempatan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Tambah beliau, satu mesyuarat khas akan diadakan melibatkan semua pemegang taruh bagi memastikan proses penilaian dilaksanakan secara telus dan menyeluruh.
“Ini untuk memastikan inisiatif dilaksana Selangor dapat dinikmati semua pihak. Dalam masa sama, usaha ini juga dapat mempertimbang mana-mana lantikan politik yang cemerlang daripada digugurkan kerana tiada kedudukan politik,” katanya.