ad
AGENDA

Trump tandatangani perisytiharan cukai import keluli, aluminium 50 peratus

4 Jun 2025, 10:34 AM
Trump tandatangani perisytiharan cukai import keluli, aluminium 50 peratus

WASHINGTON, 4 JUN: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada Selasa menandatangani perisytiharan bagi menggandakan kadar tarif ke atas import keluli dan aluminium kepada 50 peratus minggu ini, dengan alasan langkah itu lebih berkesan untuk mengekang tindakan negara asing yang didakwa membanjiri pasaran AS dengan logam berlebihan pada harga rendah, lapor Agensi Berita Yonhap.

Kadar tarif baharu itu dijadual berkuat kuasa pada 12.01 pagi Rabu, meskipun terdapat kebimbangan berterusan bahawa langkah berkenaan boleh membawa kepada kenaikan harga barangan dan pertumbuhan ekonomi yang perlahan.

Trump sebelum ini giat menggunakan tarif sebagai alat untuk mengurangkan defisit dagangan Amerika dan memperkukuh industri pembuatan tempatan.

“Meskipun tarif keluli dan aluminium yang dikenakan sebelum ini telah membantu memberi sokongan harga yang kritikal di pasaran domestik, ia masih belum mampu membolehkan industri berkenaan mencapai kadar penggunaan kapasiti pengeluaran yang diperlukan untuk kelangsungan industri dan keperluan pertahanan negara yang diunjurkan,” menurut perisytiharan itu.

“Saya telah memutuskan bahawa peningkatan tarif sedia ada akan memberikan sokongan lebih besar kepada industri ini serta mengurangkan atau menghapuskan ancaman keselamatan negara yang berpunca daripada import produk keluli dan aluminium serta produk terbitannya,” katanya.

Merujuk kepada perjanjian perdagangan dengan Britain pada 8 Mei lalu yang dikenali sebagai Perjanjian Kemakmuran Ekonomi (EPD), Trump menyatakan bahawa adalah "perlu dan sesuai" untuk memberikan layanan berbeza kepada London.

Kadar tarif ke atas Britain akan kekal pada 25 peratus, namun Setiausaha Perdagangan, Howard Lutnick diberi kuasa untuk melaras kadar dan menetapkan kuota import bagi keluli dan aluminium selaras dengan terma EPD.

“Setiausaha juga boleh menaikkan kadar duti kepada 50 peratus sekiranya didapati United Kingdom tidak mematuhi aspek-aspek berkaitan dalam EPD,” menurut perisytiharan itu.

-BERNAMA-YONHAP

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.