ad
AGENDA

Rasmi: Lee Jae-myung dipilih presiden baharu Korea Selatan

4 Jun 2025, 9:10 AM
Rasmi: Lee Jae-myung dipilih presiden baharu Korea Selatan

SEOUL, 4 JUN: Lee Jae-myung secara rasmi memulakan penggal lima tahun sebagai Presiden Korea Selatan pada Rabu, susulan pengesahan kemenangannya dalam pilihan raya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Kebangsaan (NEC), lapor Agensi Berita Yonhap.

Lee secara rasmi mengambil alih jawatan sebagai presiden pada 6.21 pagi, sejurus selepas kelulusan rasmi daripada NEC dalam satu sesi pleno.

Beliau memegang jawatan tertinggi negara tanpa melalui tempoh peralihan, memandangkan pilihan raya awal telah diadakan pada Selasa bagi menggantikan bekas Presiden Yoon Suk Yeol, yang digugurkan selepas percubaan untuk melaksanakan undang-undang tentera gagal.

Tugas sebagai presiden, termasuk selaku ketua angkatan tentera diserahkan kepadanya oleh Pemangku Presiden Lee Ju-ho.

Lee, calon dari Parti Demokratik (DP) memenangi pilihan raya dengan meraih 49.42 peratus undi, menewaskan pencabarnya dari Parti Kuasa Rakyat (PPP) Kim Moon-soo yang memperoleh 41.15 peratus.

Ketua Whip DP, Park Chan-dae dijadual menerima sijil rasmi kemenangan daripada pejabat NEC di Gwacheon, yang terletak di selatan Seoul.

Pada hari pertamanya, Lee akan mengangkat sumpah dalam satu majlis pelantikan ringkas yang diadakan di Bangunan Dewan Negara pada 11 pagi.

Sebelum majlis itu, beliau dijadualkan menziarahi Taman Makam Negara Seoul sebagai tanda penghormatan.

-BERNAMA-YONHAP

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.