SHAH ALAM, 3 JUN: Jualan Ehsan Rahmah (JER) mega sempena Aidiladha yang berlangsung hari ini dan esok di enam lokasi dijangka memanfaatkan lebih 4,000 keluarga, kata EXCO pertanian.
Menawarkan keperluan seperti ayam, daging dan telur, jualan itu menurut Dato’ Ir Izham Hashim melibatkan tanggungan subsidi berjumlah RM66,000, bagi meringankan beban belanja penduduk.
Beliau menjelaskan JER kali ini turut menawarkan jualan buah dan sayuran hasil ladang Selangor Fruit Valley (SFV) untuk memudahkan penduduk mendapatkan keperluan menyambut raya.
“Buah dijual seperti jambu batu, belimbing, pisang dan nanas MD2. JER juga jual sayuran antaranya timun, kacang panjang, bendi, sawi, bayang dan kangkung.
[caption id="attachment_700018" align="aligncenter" width="791"] Orang ramai tidak melepaskan peluang mendapatkan barangan keperluan di Jelajah Ehsan Rahmah Dun Sungai Tua di Padang Awam Batu Caves, Gombak pada 14 Mei 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI[/caption]
“Sebahagian sayur ini dibeli daripada petani yang merupakan peserta program pembangunan usahawantani Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS),” katanya kepada Media Selangor.
Hari ini, jualan berkenaan berlangsung di Dataran Pantai Batu Laut (Tanjung Sepat), medan selera Flat Angsana Hilir Kampung Pandan (Pandan Indah) dan Pejabat Daerah dan Tanah Klang (Selat Klang).
Program sama diteruskan esok di dewan terbuka padang awam Batu Caves (Sungai Tua), dewan orang ramai Telok Nipah (Pelabuhan Klang) dan dewan serbaguna Kampug Sungai Serdang (Sementa).
Jualan kendalian PKPS itu menawarkan ayam seekor (RM12), daging pejal (RM10/pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6/pek), minyak masak dua kg (RM10) dan beras lima kg (RM13).
Turut dijual produk baharu iaitu tepung (RM2), sardin (RM5.50), bihun (RM2.50), biskut jagung (RM3), sabun cuci baju (RM16.00) dan lampin bayi pakai buang (RM12).