SHAH ALAM, 3 JUN: Seramai 45 anak yatim dari seluruh Selangor terpilih menyertai kem akil baligh anjuran Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) di Kem Baintunnur, Banting, baru-baru ini.
Pengurus Operasi Kebajikan Yide berkata kem selama tiga hari bermula 30 Mei hingga 1 Jun lalu dianjur bagi membimbing peserta melalui fasa akil baligh dengan ilmu dan panduan Islam yang tepat.
“Program ini adalah salah satu usaha Yide untuk memastikan anak-anak yatim terus mendapat perhatian, bimbingan dan sokongan dalam fasa penting kehidupan mereka seterusnya mencapai objektif melahirkan anak yatim muslim yang gemilang,” kata Muhammad Zubair Azizan menerusi Facebook.
[caption id="attachment_704145" align="aligncenter" width="748"] Seramai 45 anak yatim terpilih dari seluruh Selangor menyertai kem akil baligh anjuran Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) di Kem Baintunnur, Kuala Langat pada 30 Mei hingga 1 Jun 2025. Foto Facebook Yayasan Islam Darul Ehsan - YIDE[/caption]
Tambahnya, pelbagai aktiviti dijalankan antaranya kelas asas fardhu ain, sentuhan selamat, mandi hadas, membina keyakinan diri, 'team building' serta tanggungjawab sosial dan agama.
Jelasnya, peserta bukan sahaja mendapat pendedahan rohani dan psikologi berkaitan proses baligh, malah turut diberi ruang untuk membentuk jati diri dan jaringan sosial yang positif.
“Penganjuran program ini adalah sebahagian daripada inisiatif berterusan Yide dalam memperkasa pendidikan rohani dan pembangunan insan dalam kalangan anak-anak yatim di Selangor,” katanya.