ad
AGENDA

Khutbah Arafah diterjemah lebih 34 bahasa, sebar mesej nilai Islam

2 Jun 2025, 4:32 PM
Khutbah Arafah diterjemah lebih 34 bahasa, sebar mesej nilai Islam

MAKKAH, 2 JUN: Pihak Berkuasa Am bagi Penjagaan Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi telah melengkapkan persiapan bagi projek penterjemahan khutbah Arafah, lapor Agensi Berita Saudi (SPA).

Projek itu bertujuan menyampaikan mesej toleransi Islam kepada khalayak global dalam bahasa ibunda mereka, sekali gus memupuk komunikasi lebih baik antara umat Islam dan bukan Islam. Ia juga menekankan peranan penting Kerajaan Arab Saudi dalam mengurus dua masjid suci serta komitmennya yang berterusan dalam menyokong jemaah haji di seluruh dunia.

Projek itu bakal menyediakan penterjemahan khutbah Arafah secara langsung dalam lebih 34 bahasa, menjadikannya antara inisiatif terbesar musim haji. Ciri utama projek ini ialah penggunaan kod Respons Pantas (QR) yang membolehkan capaian mudah kepada teks dan audio penterjemahan.

Ini membolehkan jemaah mendengar khutbah dalam bahasa masing-masing tanpa mengira lokasi mereka sama ada di kawasan suci atau di tempat lain.

Bagi meluaskan capaian dan impak perkhidmatan ini, kod QR dipaparkan di skrin di kemudahan utama, bas dan penginapan jemaah.

Selain itu, perkhidmatan ini turut dipromosikan melalui pelbagai platform media kerajaan serta dikongsi bersama media antarabangsa dengan kerjasama Kementerian Media.

-- BERNAMA-SPA

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.