ad
AGENDA

Kes tipu cabutan bertuah, 12 laporan diterima libat kerugian lebih RM250,000

2 Jun 2025, 2:27 PM
Kes tipu cabutan bertuah, 12 laporan diterima libat kerugian lebih RM250,000

KUALA TERENGGANU, 2 JUN: Polis Terengganu membuka 12 kertas siasatan berkaitan kes penipuan peraduan cabutan bertuah melalui capaian pautan sebuah bank (phishing).

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata pihaknya menerima 12 laporan bermula 1 Januari hingga semalam melibatkan kerugian berjumlah RM259,103.57.

Beliau berkata laporan terbaharu diterima semalam membabitkan guru wanita berusia 52 tahun yang kerugian wang RM5,499 dipercayai selepas menekan capaian pautan bertuah palsu melalui Facebook.

"Mangsa menyedari wang simpanan dalam dua akaunnya telah hilang selepas membuat pemeriksaan di bank.

"Satu lagi laporan semalam melibatkan seorang peniaga wanita berusia 52 tahun yang kehilangan RM14,110 daripada tiga akaun bank selepas menekan pautan palsu di laman sosial," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan dengan itu, Azli mengingatkan orang ramai agar berwaspada dan menyemak kesahihan sebarang maklumat secara terus dengan institusi kewangan.

Sebarang maklumat berkaitan sindiket penipuan katanya, boleh disalurkan ke balai polis berhampiran atau CCID Scam Response Center menerusi talian 03-26101559.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.