KLANG, 2 JUN: Lebih RM4 juta diperuntuk Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) tahun ini bagi pembersihan dan pengindahan Sungai Klang, kata Datuk Bandarnya Dato’ Abd Hamid Hussain.
Menurutnya, kos itu bagi melaksanakan pelan jangka panjang antaranya memasang jaring perangkap sampah dan meletakkan sistem ‘trash skimmer’, iaitu teknologi pembersihan permukaan air.
Beliau menjelaskan inisiatif lain termasuk pemasangan penghadang (log boom) yang berfungsi mengikut aras air untuk menahan sisa terus mengalir ke sungai utama.
“Kos ini termasuk penyelenggaraan berkala selama beberapa bulan, tetapi ia tertakluk kepada kelulusan Kerajaan Selangor,” katanya berucap dalam sebuah program, semalam.
Pada masa sama, Abd Hamid menyeru masyarakat bersama menjaga kebersihan dan tidak meletakkan tanggungjawab tersebut kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) semata-mata.
“Kualiti kebersihan mencerminkan tahap kesedaran dan budaya masyarakat. Kita perlu sentiasa mencari pendekatan baharu, kreatif dan berkesan untuk memupuk sikap serta amalan kebersihan mampan,” katanya.
Semalam, sebanyak 1,234kg sampah pelbagai jenis berjaya dikutip MBDK bersama pelbagai agensi di sepanjang 20km sekitar Sungai Klang, bermula dari Royal Selangor Yacht Club (RSYC).