SHAH ALAM, 1 JUN: Berbekalkan motosikal dan semangat kental, seorang wanita membuktikan tiada yang mustahil apabila mampu mengembangkan perniagaan spa muslimah sehingga memiliki premis sendiri.
Pengusaha Erwana Spa Beauty yang dikenali sebagai Erwana berkata beliau menceburi bidang kecantikan sejak 2012 dengan menawarkan perkhidmatan spa bergerak dari rumah ke rumah menggunakan motosikal.
Namun, segalanya berubah apabila beliau diperkenalkan kepada program pembiayaan Hijrah Selangor pada 2015.
“Saya buat pinjaman pertama untuk tambah modal. Kemudian saya pinjam RM40,000 untuk beli mesin dan baiki premis,” katanya menerusi rakaman video di Facebook Hijrah Selangor.
Lebih membanggakan, dengan modal itu, spa kendaliannya kini bukan sahaja memiliki kelengkapan profesional malah menawarkan perkhidmatan lebih selesa kepada pelanggan.
Erwana turut menzahirkan rasa syukur kerana Hijrah Selangor bukan sekadar penyedia pinjaman, malah turut menyediakan bimbingan dan sokongan menyeluruh.
“Saya seronok bersama Hijrah Selangor kerana mereka bukan hanya beri dana, tapi juga kursus-kursus percuma. Selain itu, mereka galakkan budaya menabung,” katanya.
Hijrah Selangor menawarkan bantuan modal khusus kepada golongan wanita di negeri ini yang ingin memulakan perniagaan kecil-kecilan.
Bantuan modal di bawah skim Niaga Darul Ehsan (NaDi) menyediakan pembiayaan sehingga RM50,000.
Pembiayaan itu telah memanfaat 60,249 usahawan Hijrah Selangor, sekali gus membantu mereka melakukan pusingan modal perniagaan serta membeli kelengkapan perniagaan.