KUALA LUMPUR, 1 JUN: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan enam buku karya Sasterawan Negara Prof Emeritus Dr Muhammad Salleh di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini
Pelancaran enam karya itu sempena majlis perasmian penutupan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2025 yang berlangsung dari 23 Mei hingga 1 Jun.
Enam karya tersebut adalah 101 Malay Love Pantuns dan Consider The Peninsula A Selection of Poems yang diterbitkan pada tahun ini.
Selain itu, empat karya lain diterbitkan tahun lalu turut dilancar iaitu Sebuah Hikayat Diri, Padang Perahu di Lautan, Riwayat Seorang Penyeberang Bahasa dan Kuntum-Kuntum Ilmu di Taman Belantara.
Sasterawan Negara keenam berkata beliau amat gembira apabila buku karyanya yang kini memasuki 103 naskhah dilancar perdana menteri.
“Menerusi buku ini semua, banyak saya boleh sampaikan beberapa hal yang terkandung dalam jiwa, sejarah, negara dan dilalui dunia.
“Apa yang ditulis adalah kebenaran daripada sudut penulis itu sendiri. Sudut pandang daripada pengarang juga perlu dan berguna kepada pembacanya,” katanya.