ad
AGENDA

KPM: Inisiatif baucar buku kepada pegawai pendidikan akan dilaksana segera

1 Jun 2025, 4:06 PM
KPM: Inisiatif baucar buku kepada pegawai pendidikan akan dilaksana segera

KUALA LUMPUR, 1 JUN: Kementerian Pendidikan (KPM) akan segera memperincikan inisiatif pemberian baucar buku kepada semua Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) di bawah kementerian itu dan melaksanakannya dalam tempoh terdekat.

KPM dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai inisiatif berkenaan yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 430,000 PPP di seluruh negara.

“KPM menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada perdana menteri atas pengumuman pemberian baucar buku kepada semua PPP di bawah KPM ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025.

“Pengumuman perdana menteri mencerminkan keprihatinan beliau terhadap kepentingan membudayakan amalan membaca dalam kalangan masyarakat, termasuk golongan pendidik,” menurut kenyataan itu.

Perdana menteri dalam ucapannya ketika majlis itu berkata inisiatif pemberian baucar buku yang diperluas kepada lebih 400,000 guru tahun ini sebagai langkah berterusan kerajaan untuk membudayakan amalan membaca dalam kalangan rakyat terutama pelajar sekolah dan universiti.

Beliau berkata golongan guru mempunyai tanggungjawab besar dalam menyebarkan ilmu selain berperanan memupuk minat pelajar terhadap amalan membaca.

Menurut KPM inisiatif itu juga bertepatan dengan usaha berterusan kementerian untuk mempertingkatkan amalan membaca di semua peringkat selain menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat dalam kalangan pendidik.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.