ad
AGENDA

PM: Tiada keperluan mendesak rombak Kabinet ketika ini

1 Jun 2025, 2:50 PM
PM: Tiada keperluan mendesak rombak Kabinet ketika ini

KUALA LUMPUR, 1 JUN: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata tiada keperluan mendesak untuk melakukan rombakan Kabinet buat masa ini.

Anwar berkata kerajaan kekal berfungsi walaupun dua menteri meletakkan jawatan baru-baru ini.

"Tiada keperluan mendesak untuk rombakan sekarang. Dua menteri sudah letak jawatan, (dan) kami memberikan masa kepada mereka untuk memikirkan apa yang mereka mahu lakukan.

"Kini mereka sedang bercuti. Saya sudah luluskan permohonan cuti mereka. Saya rasa kita tidak perlu buat andaian," kata beliau kepada pemberita pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2025 (PBAKL 2025) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Anwar berkata Kabinet terus berfungsi seperti biasa, dan aturan sementara akan dibuat untuk memastikan kesinambungan tadbir urus.

28 Mei lalu, Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli serta Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad mengumumkan mereka sudah mengemukakan surat peletakan jawatan kepada perdana menteri, dan mula bercuti.

Peletakan jawatan Rafizi dan Nik Nazmi masing-masing berkuat kuasa pada 17 Jun dan 4 Julai ini.

"Pada (mesyuarat) Kabinet akan datang, saya akan minta menteri (lain) untuk menggantikan sementara (Nik Nazmi dan Rafizi)," kata Anwar.

Pada masa sama, perdana menteri berkata beliau akan meminta ketua setiausaha dua kementeriain berkenaan untuk terus menjalankan tugas masing-masing.

"Semua ketua setiausaha diminta meneruskan tugas mereka, kerana kita berada dalam rundingan yang serius … Asean, Majlis Kerjasama Teluk, China dan Amerika Syarikat (AS), termasuk cadangan tarif (Presiden AS) Donald Trump," kata beliau.

Rafizi dan Nik Nazmi kalah pada pemilihan KEADILAN 2025 bulan lalu.

Rafizi gagal mengekalkan jawatannya sebagai Timbalan Presiden KEADILAN apabila tewas kepada Nurul Izzah Anwar manakala Nik Nazmi kecundang dalam perebutan jawatan Naib Presiden.

Susulan peletakan jawatan itu, Pejabat Perdana Menteri (PMO) memaklumkan dalam kenyataan bahawa perdana menteri sudah menerima surat permohonan cuti dan pengunduran sebagai anggota Kabinet daripada kedua-dua menteri.

PMO menyatakan Anwar bersetuju meluluskan permohonan cuti berkenaan dan sebarang keputusan lanjut terkait perkara itu akan dimaklumkan kemudian.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.