KUALA LUMPUR, 1 JUN: Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah dibenarkan keluar dari Institut Jantung Negara (IJN) selepas menerima rawatan sejak Khamis lalu.
Menerusi hantaran di Instagram, Jabatan Perdana Menteri (JPM) Brunei memaklumkan baginda kini bersemayam di sebuah hotel di Kuala Lumpur.
"Pakar perubatan telah menasihatkan baginda berehat beberapa hari lagi sebelum berangkat balik ke Brunei Darussalam," menurut hantaran itu.
Sultan Hassanal Bolkiah tiba di Malaysia 25 Mei lalu untuk menghadiri Sidang Kemuncak Asean ke-46 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 26 dan 27 Mei.
Baginda dilaporkan berehat di IJN sejak 27 Mei kerana keletihan.
- BERNAMA