ad
BUDAYA

Penulis Puisi yang Tidak Sengaja Menggugat Dunia

1 Jun 2025, 8:30 AM
Penulis Puisi yang Tidak Sengaja Menggugat Dunia

(Mengingati puisi Sebuah Litani untuk Si Haus Tanpa Nama – Nur Cahya)

Oleh Benedict Anak Samling

Di sebuah kamar kecil di Soho, London, seorang lelaki berjanggut tebal duduk di hadapan meja yang penuh dengan kertas, arang batu separuh terbakar dan salinan puisi Goethe yang sudah lusuh. Dia batuk. Batuknya panjang, keras dan penuh kahak-kahak sejarah. Di sebelahnya, segelas wiski dan sampul surat yang belum dibuka. Di penghujung sampul tertulis: Engels. Dia adalah rakannya yang juga juruwang peribadi dan kadangkala sebagai penjaga jiwa.

Lelaki berjanggut tebal itu bernama Karl Marx.

Nanti! Bukan Karl Marx seperti yang kau fikirkan, bukan revolusioner bertangan besi atau pelopor komunisme. Ini Karl Marx yang bermimpi menulis puisi. Karl Marx yang ingin menulis tentang cinta, kehilangan dan bayang-bayang Tuhan yang menghalangnya untuk bercakap. Dia juga Karl Marx yang membaca Shakespeare dalam bahasa Jerman dan percaya bahawa revolusi terhebat ialah di dalam dada manusia yang patah.

Percayalah, dia bukan Karl Marx seperti yang kau inginkan. Buktinya, sebelum lahirnya Manifesto Komunis, Karl Marx yang kau lihat itu telah menulis baris-baris puisi seperti:

aku, titisan tuhan yang dilupakan

mencari makna dalam arang dan malam

dan

dunia bukan cermin,

tapi bilik kabut yang penuh gema kedinginan

Frasa-frasa itu tidak pernah diterbitkan dalam majalah puisi. Editor majalah pada tahun 1840-an tidak tahu apa yang harus dibuat dengan pemuda yang menulis seperti Byron dalam roh Hegel. Maka, Karl Marx perlahan-lahan menggulung puisi-puisinya lalu diselit di bawah rimbunan jerami dan dia mula menulis sesuatu yang lebih ‘praktikal’ yakni tentang buruh, tentang upah, tentang eksploitasi. Ah! Sesuatu yang kontemporari.

Setelah bertahun-tahun, puisi-puisi itu akhirnya mereput bersama jerami atau lebih tepat ditimbus akhbar yang dibanjiri air mani ahli politik, kahak kapitalis dan darah para petani. Tetapi jika kita renung jauh ke dalam isi dada Das Kapital, kita akan temui serpihan sajak yang dihiasi irama dalam kemarahan, metafora dalam hujah, dan ironi dalam statistik.

Karl Marx bukan penulis biasa. Dia menulis dengan nada seakan-akan ayat-ayat dalam injil, gaya drama, geometri dan kadang-kadang humor gelap. Jika The Communist Manifesto dibaca seperti mantera perang, maka Das Kapital ialah novel gothic yang menyamar sebagai buku resipi ekonomi. Lihat sahaja cara dia menulis tentang komoditi;

Komoditi adalah perkara aneh, penuh dengan metafizik dan nuansa teologi.

Atau bagaimana dia menyifatkan buruh;

Buruh ialah penderitaan yang menjadi sumber segala nilai, tetapi dilupakan oleh nilai itu sendiri.

Marx ialah penulis yang tidak tahu bila perlu berhenti. Dia menulis bukan untuk memperindahkan dunia, tetapi untuk menggosok kulit-kulitnya hingga ke tulang atau sehingga dunia itu terkaku lalu menyerah kalah. Barangkali dia bukan mahu mengubah dunia tetapi hanya inginkan dunia mengaku bahawa dia telah difahami.

Apa yang terjadi jika penyair gagal jadi penyair? Dia menjadi ahli teori. Dia menukar metafora menjadi graf, emosi menjadi formula, dan rindu menjadi kelas sosial. Tetapi jiwa puisi itu tidak pernah mati.

Kita sering lupa bahawa setiap revolusi bermula dengan rasa kecewa yang dalam dan kecewa yang paling dalam datang daripada mereka yang pernah percaya akan keindahan. Karl Marx ialah penyair yang dikhianati oleh estetika, lalu mendendami struktur dan sistem yang memualkan. Maka dia ciptakan struktur baru yang bukan lagi bergantung-harap pada irama tetapi dialektik dan determinisme sejarah. Namun di sela tulisannya, kita masih dengar jeritan penyair yang halus, kadang-kadang mendayu-dayu serta sarkastik yang pekat.

Karl Marx tidak pernah bercadang untuk mencetuskan ‘isme’. Dia bukan ketua parti politik. Dia bukan penggubal dasar. Malah, dia skeptikal terhadap puja-pujian. Dia lebih suka mengkritik dan meninggalkan kritikan dalam sepi kerana dia tahu manusia akan mencari kesepian. Ketika menemui kesepianlah manusia akan memilih antara kebenaran atau kepura-puraan.

Namun manusia cenderung memilih wajahnya untuk dijadikan lambang. Wajahnya dijulang dan digantung pada dinding-dinding, namanya digunakan untuk membakar dunia dan pemikirannya dijadikan mata pedang untuk melagakan kekusutan. Pemerintah mempergunakannya, pemberontak menyembahnya dan pasar malam, (ya pasar malam!) menjual wajahnya di kemeja-T berjenama kapitalis seolah-olah dunia membalas dendam terhadap puisinya dengan menjadikan dirinya sebahagian daripada komoditi.

Marx akhirnya mati dan dikebumikan di Highgate Cemetery, London. Batu nisan besar berdiri tegak dengan ukiran kata-kata yang bukan pilihannya:

The philosophers have only interpreted the world, in various ways; the point is to change it.

Seandainya dia memilih ayat kesukaannya, mungkin dia akan memilih epitafnya yang ditulis seperti ini”

Aku hanya mahu menulis puisi. Dunia terlalu bising.

Karl Marx bukan tokoh sejarah seperti yang kau fikirkan. Dia adalah manusia yang patah hati terhadap puisinya lalu dia mencipta gedung pemikiran. Dunia mengenangnya sebagai penggugat, tetapi barangkali dia cuma ingin menjadi penulis puisi yang difahami. Dan barangkali begitulah tragedi sebenar semua penulis, bahawa ketika mereka hanya mahu menjelaskan perasaan tetapi dunia menuntut revolusi.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.