ad
EXCO

Lebih 9,000 penunggang p-panggilan di Selangor terima manfaat wang tunai, caruman KWSP

31 Mei 2025, 9:13 PM
Lebih 9,000 penunggang p-panggilan di Selangor terima manfaat wang tunai, caruman KWSP

SHAH ALAM, 31 MEI: Lebih 9,000 penunggang p-panggilan di Selangor mendapat manfaat subsidi wang tunai RM500 melalui program Roda Darul Ehsan (RiDE) sejak 2021.

Dato’ Menteri Besar berkata inisiatif turut melibatkan caruman Kumpulan Wang Simpanan Kerja (KWSP) untuk memberi peluang lebih luas kepada anak muda menceburi ekonomi gig.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, seramai 1,200 peserta turut menerima bantuan Lesen Memandu Malaysia (LLM) Kelas B2 kategori motosikal menerusi program MyLesen 2025 peringkat Selangor pada hari ini.

“Saya amat berbangga apabila seramai 1,200 penerima MyLESEN B2 menerima lesen memandu percuma, membuktikan kerjasama erat Kerajaan Negeri bersama persekutuan.

“Dengan rekod 3,119,207 pemegang lesen memandu aktif di Selangor hingga April 2025, menjadi matlamat kerajaan melahirkan pemandu dan penunggang motosikal yang bukan sahaja cekap, tetapi beretika dan berdisiplin,” katanya di Facebook.

Amirudin turut mengucapkan tahniah kepada semua penerima lesen itu selain mahu usaha memperkukuh advokasi keselamatan jalan raya dan memperluas akses mobiliti rakyat diteruskan.

RiDE diwujudkan selepas Kerajaan Negeri melihat keperluan melindungi pekerja p-panggilan berikutan kebergantungan masyarakat terhadap sektor itu terutama selepas penularan wabak Covid-19.

Program RiDE turut menawarkan subsidi lesen motosikal B2 berjumlah RM350, kursus e-panggilan bernilai RM150 dan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial RM70 setahun.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.