ad
AGENDA

MB lancar Dana Strata Selangor RM10 juta, selesai isu hak milik penghuni

31 Mei 2025, 8:17 PM
MB lancar Dana Strata Selangor RM10 juta, selesai isu hak milik penghuni

SEPANG, 31 MEI: Dato' Menteri Besar melancarkan Dana Strata Selangor berjumlah RM10 juta yang bertujuan menyelesaikan isu pembangunan tanpa hak milik strata khususnya melibatkan pangsapuri lama.

Dato' Seri Amirudin Shari berkata peruntukan tersebut membuktikan komitmen pentadbiran negeri untuk menyelesaikan isu hak milik penghuni yang telah berlarutan puluhan tahun.

"Inisiatif ini diperkenal kerana kita cuba selesaikan isu hak milik strata yang banyak di Selangor. Isu strata biasanya saluran kumbahan, paip bocor, tangki dan lif rosak, itu kita tangani tetapi pada masa sama hak milik juga kita selesaikan kerana ia hak penduduk selaku rakyat.

"Dalam tempoh 15 tahun, kita anggarkan lebih 80,000 hak milik tanah di Selangor berjaya diputihkan dan diserahkan. Bukan sahaja melibatkan kediaman, tetapi masjid, surau dan rumah ibadat juga diselesaikan.

"Kita mulakan dengan dana RM10 juta dahulu dan akan gunakan semaksimum mungkin. Jika ada keperluan kita sedia tambah lagi dana ini kerana isu pemilikan strata di Selangor banyak," ucapnya pada program Rewang Komuniti Strata peringkat Majlis Perbandaran Sepang di pekarangan medan selera Taman Putra Perdana hari ini.

Terdahulu, Amirudin diiringi EXCO Perumahan Datuk Borhan Aman Shah menyampaikan geran hak milik strata kepada tiga penerima di Taman Putra Perdana.

Ketika membentang Belanjawan Selangor 2025, Dato' Menteri Besar memaklumkan sejumlah RM10 juta diperuntuk sebagai dana awal penyelesaian strata di Selangor bagi meningkatkan peratusan penyelesaian pembangunan tanpa hak milik strata negeri.

Pada Disember tahun lepas, beliau berkata Kerajaan Negeri menyasarkan lebih 70 hingga 90 peratus isu pemilikan dapat diselesaikan dalam tempoh beberapa tahun.

Amirudin berkata sebanyak 138,000 unit rumah strata di negeri ini mengalami masalah pemilikan sekali gus memberi kesan kepada nilai aset dan hartanah.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.