OLEH UFAIRAH TARMIDZI
GOMBAK, 31 MEI: Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari menegaskan beliau tidak akan meninggalkan jawatan yang disandang untuk menyertai barisan Kabinet Persekutuan, sekali gus menepis spekulasi dirinya bakal dilantik sebagai menteri.
Beliau berkata tumpuan utamanya kekal pada amanah sebagai Menteri Besar Selangor sehingga tamat penggal.
“Spekulasi ini sudah berlarutan sejak lima tahun lalu. Alhamdulillah, saya masih menjalankan tanggungjawab ini hingga kini.
“Spekulasi ini dah bermain sejak lima tahun lepas. Alhamdulillah, sehingga ke hari ini, saya masih memegang jawatan sebagai Menteri Besar Selangor.
“Kita tengok keadaan. Kita bina jambatan bila sampai ke sungai nanti. Maknanya, sampai masa nanti, akan ada perbincangan seterusnya,” katanya kepada Media Selangor.
Sebelum ini, status dua kerusi menteri iaitu Menteri Ekonomi dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar masih menjadi tanya susulan peletakan jawatan Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad pada 28 Mei lalu.
Dalam pada itu, Amirudin yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Tua merangkap Ahli Parlimen Gombak turut tidak menjangkakan akan berlaku pilihan raya kecil (PRK) di Selangor untuk tempoh dua tahun terakhir pentadbirannya.
Tambahnya, banyak perkara perlu dipertimbangkan selain tumpuan kini terarah untuk memperkukuh pasukan dalam Kerajaan Perpaduan bagi mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah nanti.
Sementara itu, Amirudin turut menyifatkan tindakan PAS terhadap Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Nurul Izzah Anwar sebagai munafik susulan isu penamatan kontrak Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
“PAS dulu pun menyokong kuat Tan Sri Azam Baki, tetapi, sekarang minta untuk menamatkan kontrak beliau pula.
“Perkara itu masih dalam perbincangan, dan ia tidak berlaku dengan kadar segera,” tambahnya.