SHAH ALAM, 31 MEI: Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor mahu Dato' Seri Amirudin Shari kekal sebagai Dato' Menteri Besar sehingga tamat pengggal pentadbiran.
Dalam kenyataan bersama tiga pemimpin kanan komponen HARAPAN negeri, sokongan tersebut bagi memastikan pentadbiran Kerajaan Selangor kekal stabil sekali gus memberi mesej kukuh kepada pelabur dan komuniti perniagaan.
"Pentadbiran yang stabil penting bagi melaksanakan pelbagai kebijakan serta dasar yang telah direncana antaranya Rancangan Selangor Kedua, pembangunan pelabuhan ketiga di Pulau Carey, agenda Iltizam Selangor Penyayang, Kompleks Stadium Shah Alam serta pelbagai lagi.
"Selain itu, kami juga berpandangan kepimpinan Dato’ Seri Amirudin Shari selaku Pengerusi HARAPAN Selangor amat diperlukan bagi memperkukuh kerjasama bersama Barisan Nasional menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
"Pengalaman dan kepimpinan beliau adalah kunci kepada kesepaduan yang telah dibentuk sehingga membawa kepada kemenangan serta pembentukan Kerajaan Perpaduan di Selangor pada Pilihan Raya Negeri yang lalu," menurut kenyataan.
Jelas kenyataan tersebut, khidmat Amirudin diperlukan bagi memastikan Selangor kekal menjadi gedung ekonomi negara sekali gus menjayakan agenda Malaysia MADANI yang digagaskan oleh Perdana Menteri Dato' Seri Anwar Ibrahim.
Kenyataan itu dikeluarkan oleh Timbalan Pengerusi Pakatan HARAPAN Selangor merangkap Pengerusi DAP Selangor Ng Sze Han; Timbalan Pengerusi Pakatan HARAPAN Selangor merangkap Pengerusi Amanah Selangor Dato' Izham Hashim dan Naib Pengerusi HARAPAN Selangor merangkap Timbalan Pengerusi KEADILAN Selangor Datuk Borhan Aman Shah.