Oleh Ufairah Tarmidzi
GOMBAK, 31 MEI: Selangor sedia menghadapi status negeri menua dengan menyediakan pelbagai inisiatif kepada rakyat khususnya warga emas.
Dato’ Menteri Besar berkata ekosistem perlindungan yang utuh adalah penting untuk menjaga kebajikan golongan tersebut susulan Selangor kini berdepan fenomena peningkatan jangka hayat.
“Tahun 2018, jangka hayat rakyat Selangor sekitar 75 hingga 78 tahun. Namun, data terkini Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan ia meningkat kepada 80 hingga 82 tahun.
“Ini memberi isyarat jelas bahawa Selangor sedang bergerak ke arah masyarakat menua dan perlu melengkapkan diri dengan dasar perlindungan sosial yang menyeluruh,” kata Dato' Seri Amirudin Shari.
[caption id="attachment_703687" align="aligncenter" width="700"] Dato Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap sempena Karnival Ceria Selangor peringkat daerah Gombak di Dataran Ilmu, Bandar baru Selayang Selangor pada 31 Mei 2025. Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR[/caption]
Beliau berkata demikian kepada media selepas melancarkan Skim Khairat Darul Ehsan (KDE) pada Karnival Ceria Selangor di Dataran Ilham, Bandar Baru Selayang, disini hari ini. Hadir sama EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari
Amirudin memaklumkan setakat ini seramai 30,000 peserta dari Skim Mesra Usia Emas, Iltizam Selangor Sihat dan Skim Insurans Am Selangor bersetuju menjadi ahli KDE.
KDE merupakan inisiatif Kerajaan Negeri yang bertujuan meringankan beban waris dengan pemberian sumbangan khairat kematian sebanyak RM1,000.
Sebelum ini, menerusi Belanjawan 2025, Kerajaan Negeri memperuntuk sejumlah RM20 juta bagi pelaksanaan KDE kepada rakyat Selangor berusia 50 tahun ke atas dan golongan orang kurang upaya.