OLEH UFAIRAH TARDIMZI
GOMBAK, 31 MEI: Lebih 2,000 pengunjung hadir memeriahkan Karnival Ceria Selangor yang diadakan di Dataran Ilmu, Bandar Baru Selayang, di sini hari ini.
EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berkata program itu merupakan platform untuk mengeratkan ikatan kekeluargaan dan mengutuhkan perpaduan antara masyarakat sekali gus mengelakkan budaya individualisme.
“Alhamdulillah, saya bangga melihat kehadiran warga Gombak dan Rawang dari pelbagai peringkat umur ke program ini menunjukkan kukuhnya ikatan kekeluargaan dan rapatnya hubungan komuniti.
[caption id="attachment_703664" align="alignleft" width="500"] EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari mengiringi Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari beramah mesra bersama pengunjung Karnival Ceria Selangor di Dataran Ilmu, Bandar Baru Selayang pada 31 Mei 2025. Foto Facebook Amirudin Shari[/caption]
“Pada masa sama, pengunjung juga berpeluang untuk mengetahui dengan lebih dekat tentang inisiatif ditawarkan Kerajaan Selangor melalui agensi kerajaan negeri yang membuka reruai dan membuat pameran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Karnival Ceria Selangor yang turut dihadiri Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.
Menurut Anfaal, program tersebut juga menyaksikan dua pelancaran inisiatif Kerajaan Negeri iaitu Pelancaran Kempen Menentang Keganasan Terhadap Wanita dan Kanak-Kanak dan Skim Khairat Darul Ehsan (KDE).
Program yang bermula dari jam 7 pagi hingga 2 petang itu menyediakan pelbagai aktiviti menarik antaranya, Larian Kasih Ibu, teater menentang keganasan berasaskan gender, pertandingan mencipta wau.
Turut diadakan ialah pemberian beg sekolah percuma dari Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) kepada 150 kanak-kanak berusia 4 hingga 10 tahun.