SHAH ALAM, 31 MEI: Syarikat urusetia pertandingan memancing di Tasik Maeps, Serdang yang berlangsung hari ini memasang jaring tambahan bagi memastikan ikan keli Afrika dilepaskan pihaknya tidak terkeluar dari kolam pancingan.
Pengarah perikanan negeri berkata syarikat berkenaan turut menyediakan tong bagi mengumpul ikan yang berjaya dinaikkan selain menyediakan bahan hebahan kesedaran.
Menurut Noraisyah Abu Bakar, syarikat berkenaan juga akan melaksanakan aktiviti memancing secara aktif dan berterusan sepanjang program berlangsung.
“Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) selaku pihak penganjur pula akan memastikan syarikat mematuhi arahan pemasangan jaring selain menyelaraskan program inventori dan pelupusan ikan asing selepas tamat program.
“Jabatan kami turut menyokong usaha ini melalui pembekalan bahan kesedaran dan khidmat nasihat teknikal berkaitan,” katanya menerusi kenyataan.
Beliau berkata siasatan mendapati urusetia melepas kira-kira 1,300 ikan dengan purata berat 1.5 kilogram seekor ke tasik berkenaan kelmarin tanpa memaklumkan atau membuat permohonan kepada pihaknya.
Jelasnya tindakan itu dipandang serius memandangkan ia boleh menjejaskan keseimbangan ekosistem, mengancam spesies tempatan dan memberi kesan jangka panjang terhadap sumber perikanan negara.
“Usaha mengatasi masalah ini sedang dipertingkat termasuk penggubalan peraturan baharu serta hebahan media massa dan elektronik bagi memperkukuh kawal selia terhadap aktiviti pelepasan ikan.
“Semua pihak termasuk penganjur acara, agensi kerajaan dan swasta perlu mendapatkan khidmat nasihat teknikal daripada kami sebelum melaksanakan sebarang aktiviti pelepasan ikan ke perairan awam bagi mengelakkan implikasi negatif terhadap alam sekitar dan sumber asli negara,” katanya.
Sebelum ini, tular di media sosial berhubung tindakan pelepasan ikan keli Afrika berkenaan yang dianggap bertentangan dengan usaha kerajaan dalam memulihara ekosistem hidupan air.