GOMBAK, 31 MEI: Kerajaan Selangor hari ini melancarkan Program Kesihatan Warga Emas sebagai langkah awal mengesan risiko keuzuran dan mencegah komplikasi kesihatan lebih kritikal.
EXCO kesihatan awam berkata program akan dilaksanakan di sembilan daerah seluruh negeri melibatkan 22 lokasi dengan menyasarkan saringan kesihatan secara percuma terhadap 3,000 warga emas.
“Perasmian hari ini juga menjadi projek rintis program. Selain saringan kesihatan, warga emas yang hadir akan menjalani aktiviti senaman dan dibekal dengan buku panduan senaman serta diet pemakanan sihat.
[caption id="attachment_703630" align="aligncenter" width="691"] Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari beramah mesra bersama peserta ketika program kesihatan warga emas negeri Selangor di Dewan Beringin, Gombak pada 31 Mei 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
“Ia sebagai langkah intervensi negeri melalui amalan penjagaan terbaik untuk menjaga kesihatan warga emas di Selangor,” kata Jamaliah Jamaluddin kepada pemberita selepas merasmikan program di Dewan Beringin di sini.
Hadir sama Dato’ Menteri Besar Dato’ Sri Amirudin Shari yang melakukan tinjauan terhadap aktiviti saringan selain menyantuni warga emas yang hadir.
Jamaliah menambah pelaksanaan program juga merupakan sebahagian peruntukan sejumlah RM40 juta yang disalur pentadbiran negeri untuk kesihatan awam pada tahun ini.
[caption id="attachment_703631" align="aligncenter" width="680"] EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin melakukan aktiviti bersama peserta ketika program kesihatan warga emas negeri Selangor di Dewan Beringin, Gombak pada 31 Mei 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
“Program juga merupakan usaha untuk menangani isu isu penjaga atau caretakers yang tidak mencapai tahap yang memuaskan serta kos yang tinggi.
“Kos penjagaan yang terlalu mahal membawa kesan kepada masyarakat atau pasangan anak muda yang perlu menjaga ibu bapa termasuk kesan ekonomi jika anak-anak perlu mengambil cuti dan tidak dapat bekerja dengan baik,” ujarnya.