Oleh Dewi Abdul Rahman
SHAH ALAM, 31 MEI: Kerajaan Negeri membelanjakan sebanyak RM127,000 menerusi Dana Bantuan Guaman Selangor sejak program itu dilancarkan pada September 2022.
EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berkata peruntukan itu membolehkan 58 kes diselesaikan daripada keseluruhan 80 permohonan yang diterima.
“Kes tertinggi melibatkan isu kekeluargaan iaitu 62 kes, diikuti masalah pekerjaan (15 kes) dan undang-undang syariah (3 kes).
“Sebanyak 20 kes masih berjalan manakala tiga permohonan ditolak atau dipulangkan semula,” katanya kepada Media Selangor.
Beliau memaklumkan, orang ramai boleh mengemukakan permohonan di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri berhampiran.
"Sekiranya diluluskan akan mendapat khidmat guaman melalui Majlis Peguam Selangor," jelasnya.
Dana Bantuan Guaman Selangor merupakan inisiatif pertama seumpamanya di Malaysia, hasil kerjasama antara Kerajaan Negeri, Majlis Peguam Malaysia dan Majlis Peguam Selangor.
Program itu diperkenalkan dengan peruntukan awal RM1 juta bagi memastikan golongan berpendapatan rendah mendapat akses kepada keadilan khususnya dalam isu kekeluargaan, pekerjaan dan perundangan syariah.
Antara syarat kelayakan permohonan adalah seperti berikut:
- warganegara Malaysia
- pemastautin Selangor
- berpendapatan isi rumah kurang daripada RM5,000 sebulan.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai disaran menghubungi Pusat Khidmat DUN masing-masing.