ad
AGENDA

Tengku Zafrul umum letak semua jawatan dalam Umno, mohon sertai KEADILAN

30 Mei 2025, 9:35 PM
Tengku Zafrul umum letak semua jawatan dalam Umno, mohon sertai KEADILAN

KUALA LUMPUR, 30 MEI: Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz hari ini mengumumkan peletakan jawatannya dalam Umno.

Dalam kenyataan di Facebook, beliau berkata surat peletakan jawatan itu telah dihantar kepada pucuk pimpinan Umno hari ini.

Pada masa sama, Tengku Zafrul berkata beliau sudah menyatakan niat menyertai Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) kepada Presiden Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung Dr Fuziah Salleh.

“Saya akan mengikuti proses permohonan lazim untuk menjadi ahli Parti Keadilan Rakyat,” katanya.

Tengku Zafrul menerusi surat yang dihantar kepada pimpinan Umno menyatakan hasrat untuk meletakkan jawatan sebagai ahli majlis kerja tertinggi, Ketua Umno Bahagian Kota Raja dan ahli Umno.

Beliau berkata keputusan itu dibuat setelah bermuhasabah diri dan mengambil kira pelbagai faktor terutama faktor keserasian dan kesesuaian.

“Keputusan ini bukan keputusan mudah. Sebelum membuat keputusan ini, saya telah meminta nasihat dan pandangan daripada sahabat saya dari dalam dan luar parti termasuk Yang Amat Berhormat Presiden (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) sendiri.

“Saya mengambil masa yang agak panjang untuk memikirkan keputusan ini secara mendalam, terutamanya kerana Umno adalah satu-satunya parti politik yang saya pernah sertai, sejak 1997 lagi,” katanya.

Tengku Zafrul turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan sokongan dan dorongan kepadanya ketika bersama Umno.

“Jasa anda tak mungkin terbalas dan akan saya kenang sampai bila-bila. Terima kasih,” katanya.

- BERNAMA

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.