Pada zaman Khulafa’ al-Rasyidin, perkembangan fikah (fiqh) berlaku pesat dan tersusun. Berikut ciri-ciri utama pada era itu:
Pertama, khalifah berpegang teguh kepada al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW sebagai sumber utama dalam menetapkan hukum. Kedua, apabila tiada nas yang jelas, para sahabat berijtihad. Abu Bakar dan Umar sering bermesyuarat dengan sahabat sebelum membuat keputusan hukum.
Ketiga, pembukaan wilayah baharu menyebabkan hukum Islam tersebar luas. Para sahabat dihantar ke pelbagai wilayah seperti Iraq, Mesir dan Syam untuk mengajar agama termasuk hukum-hakam fikah.
Keempat, penyesuaian hukum dengan realiti semasa. Khalifah Umar al-Khattab terkenal kerana melakukan ijtihad sesuai dengan perubahan keadaan seperti menggantung hukuman potong tangan ketika musim kemarau (kerana faktor darurat).
Kelima, perbezaan pandangan dalam kalangan sahabat di pelbagai tempat seperti Madinah, Kufah dan Basrah menjadi asas pembentukan mazhab fikah pada zaman kemudian. Fikah pada zaman Khulafa’ al-Rasyidin memberi asas kukuh kepada perkembangan perundangan Islam, yang kemudiannya diperhalusi dan dibukukan fuqaha’ pada zaman seterusnya.
Dengan itu, syariah Islam tidak wajar menjadi bahan perdebatan dari segi kesesuaiannya untuk setiap zaman dan tempat. Malah, kemampuan syariah dalam memenuhi keperluan manusia pada setiap era berjaya diaplikasi di kebanyakan wilayah Islam.
Pada pensyariatan berakhir dengan wafatnya Rasulullah SAW, itulah yang dinamakan sebagai zaman pensyariatan. Adapun apa yang datang selepas itu termasuk dalam ruang lingkup fikah dalam syariah.
Pada permulaan perbincangan kita tentang era fikah yang pertama, wajar untuk kita memahami keadaan politik pada waktu itu memandangkan ia ada kesan yang besar terhadap perkembangan kehidupan fikah.
Dalam sahihain (Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim) diriwayatkan pada suatu hari Rasulullah berkhutbah di mimbar kepada sahabat, lalu Baginda bersabda: “Sesungguhnya seorang hamba telah diberi pilihan oleh Allah antara keindahan dunia dan apa yang ada di sisi-Nya, lalu dia memilih apa yang ada di sisi Allah.”
Abu Bakar memahami maksud sebenar kata-kata ini, lalu berkata: “Bahkan kami menebusmu dengan bapa-bapa dan ibu-ibu kami.”
Ia difahami Abu Bakar bahawa Baginda bakal wafat sedangkan sahabat lain tidak menyedari hakikat ucapan tersebut. Tidak lama kemudian, nabi mula berasa sakit, lalu dirawat di rumah Aisyah. Baginda masih menunaikan solat bersama jemaah tetapi apabila sakitnya kian berat, Baginda memerintahkan Abu Bakar mengimami solat bersama orang ramai.
Apabila Rasulullah wafat, muslimin ragu-ragu apabila dikhabarkan tentang kewafatan Baginda. Mereka saling meragui antara satu sama lain. Umar antara yang paling kuat keraguannya. Namun, Abu Bakar membaca kepada mereka ayat yang menenangkan daripada surah Ali ‘Imran: "Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang rasul; sesungguhnya telah berlalu sebelumnya beberapa orang rasul. Maka apakah jika dia wafat atau terbunuh, kamu akan berpaling ke belakang (murtad)? Dan sesiapa yang berpaling ke belakang, maka dia tidak akan mendatangkan mudarat kepada Allah sedikit pun. Dan Allah akan memberi ganjaran kepada orang-orang yang bersyukur.’ (Surah Ali ‘Imran: 144).
Melalui ayat itu, kembalilah muslimin kepada kewarasan dan mereka teringat firman Allah kepada nabi-Nya: ‘Sesungguhnya engkau akan mati, dan sesungguhnya mereka juga akan mati.’” (Surah Az-Zumar: 30)
Tidak lama setelah Baginda wafat, timbul perpecahan dalam kalangan sahabat yang hampir membawa bahaya besar terhadap perpaduan umat iaitu perbezaan pendapat tentang siapakah yang akan menggantikan nabi dalam memimpin urusan mereka.
Golongan Ansar berpendapat kepimpinan itu patut diserah kepada mereka kerana merekalah yang memberi perlindungan kepada nabi dan muhajirin serta turut berjuang dalam peperangan demi agama. Mereka berkumpul dan bersepakat melantik seorang daripada kalangan mereka sebagai khalifah, lalu mencalonkan Saad bin Ubadah, ketua kaum Khazraj.
Fitnah besar
Akhirnya, urusan itu berpihak kepada pemimpin Muhajirin. Abu Bakar, Umar, dan Abu Ubaidah bin al-Jarrah bergegas menemui golongan Ansar lalu sedikit perbahasan antara mereka. Abu Bakar berucap kepada mereka dan berkata: ‘Kami adalah pemimpin, dan kamu adalah pembantu.'
Beliau meyakinkan mereka hingga mereka reda dan mereka tidak mahu menjadikan khalifah sebagai ganjaran atas pengorbanan mereka kepada agama. Kemudian Umar membai‘ah Abu Bakar lalu diikuti golongan Ansar. Setelah itu, umat Islam di Madinah membai‘ah Abu Bakar, dan urusan pemerintahan menjadi stabil bawah kepimpinannya.
Pada awal kepimpinan, Abu Bakar menghadapi perselisihan yang hampir-hampir merebak menjadi fitnah besar dan membahayakan Islam. Jika tidak kerana Allah menetapkan perlindungan sebagaimana firman-Nya:
‘Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Zikr (al-Quran), dan sesungguhnya Kamilah yang memeliharanya' (Surah al-Hijr: 9)
Allah menanamkan keyakinan di hati Abu Bakar lalu beliau teguh menghadapi perselisihan dengan tabah. Beliau bertekad menyelesaikannya dengan tegas walau apa pun pengorbanan yang perlu ditanggung. Bukan sekadar itu, Abu Bakar menghadapi golongan pendusta yang mengaku sebagai nabi. Mereka membaca kepada kaumnya kata-kata yang didakwa wahyu Allah. Muncul al-Aswad al-‘Ansi di Yaman, Musailamah dari Bani Hanifah di Yamamah, Tulaihah dari Bani Asad dan Sajah dalam beberapa kabilah lain.
Selepas era Abu Bakar, Umar mengambil tampuk pemerintahan. Dalam era itu, tentera Islam meneruskan pergerakan mereka lalu menakluki Parsi, Syam dan Mesir daripada Rom. Harta rampasan bertambah banyak. Umar menghadapi pelbagai masalah berkaitan penghantaran tentera, logistik, pengurusan pasukan serta pemerintahan negeri yang dibuka menurut hukum Allah. Semakin jauh tentera Islam meluaskan wilayah, semakin banyak cabaran yang timbul.
Selepas Umar, urusan pemerintahan umat Islam diserah kepada Uthman. Pada peringkat awal, negara dalam keadaan teratur selama beberapa tahun. Tentera Islam meluaskan penaklukan ke timur dan barat. Namun, sifat mulia Uthman, kelembutan pekerti serta perasaannya yang halus — meskipun terpuji —mendorong sebahagian orang Quraisy dan kalangan Bani Umayyah mengejar kemewahan dan kedudukan melalui pengaruhnya.
Mereka menjadi tamak dan menguasai banyak urusan pentadbirannya. Akibatnya, daya tahan Uthman terhadap golongan yang tamak mula melemah, fitnah dan tohmahan mula tersebar serta kekacauan merebak ke wilayah dan negeri Islam. Tentera dari Basrah, Kufah dan Mesir datang ke Madinah dengan keluhan lantang, hingga pemberontakan mereka membawa kepada pembunuhan Uthman.
Dengan terbunuhnya Uthman, terbukalah pintu fitnah seluas-luasnya. Orang ramai berpusu-pusu datang kepada Ali lalu membai‘ahnya sebagai khalifah. Beliau menjadikan Kufah sebagai ibu kota pemerintahan. Namun, Muawiyah di Syam enggan memberi kepercayaan terhadap bai‘ah tersebut.
Sekumpulan sahabat ke Basrah dalam keadaan tidak bersetuju dipimpin Ummul Mukminin Aisyah binti Abu Bakar, Talhah bin Ubaidillah, dan Zubair bin al-‘Awwam. Berlaku Perang Jamal yang diikuti Perang Siffin. Dalam peristiwa itu, berlaku kisah tahkim (pengadilan) apabila tentera Muawiyah mengangkat mushaf al-Quran di hujung tombak sebagai seruan agar merujuk kepada kitab Allah sebagai penyelesaian perbalahan.
Berlaku gencatan senjata antara kedua-dua pihak. Namun akibatnya ialah perpecahan dan perselisihan lebih mendalam.
Sebahagian besar tentera Ali bersetuju dengan gencatan senjata lalu memaksa Ali menerima pelantikan Abu Musa al-Asy‘ari sebagai hakim yang mewakilinya manakala Muawiyah melantik Amru bin al-‘As sebagai wakilnya. Sebahagian kecil tentera Ali menolak gencatan itu dan mengisytihar Ali dan pengikut yang menerima gencatan itu telah kafir. Golongan ini kemudian dikenali sebagai Khawarij.
Pada pandangan golongan Khawarij, tindakan Ali dan pengikutnya menerima tahkim (pengadilan) suatu kesalahan kerana mereka menjadikan manusia sebagai penentu dalam urusan agama sedangkan hanya Allah sebaik-baik hakim. Menurut mereka, tidak sepatutnya pedang disarungkan selagi Muawiyah dan penduduk Syam belum kembali kepada perintah Allah.
Kemudian majoriti umat Islam bersatu bawah kepimpinan Muawiyah bin Abi Sufyan. Dengan itu, berakhirlah zaman Khulafa’ al-Rasyidin.
Umat Islam selepas itu terbahagi kepada tiga golongan. Pertama, golongan yang menerima kepimpinan Muawiyah. Kedua Syiah iaitu mereka yang setia kepada Ali dan terus mencintainya. Ketiga ialah Khawarij iaitu mereka yang menentang Ali dan Muawiyah sekali gus. Ketiga-tiga golongan itu memberi kesan signifikan terhadap perkembangan fikah Islam.