SHAH ALAM, 30 MEI: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) membuka dua kertas siasatan terhadap sebuah premis penternakan lembu di kawasan rizab kerajaan di Kampung Sungai Long berhampiran Sungai Langat, Hulu Langat.
EXCO Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin berkata pemeriksaan awal LUAS mendapati wujud aktiviti penternakan di lokasi namun tiada kesan sisa mengalir ke sungai.
“Siasatan dijalankan susulan laporan penduduk yang mendakwa operasi itu menyebabkan pencemaran air sungai.
“Premis terbabit disiasat mengikut Seksyen 43(1) Enakmen LUAS 1999 kerana mengubah sumber tanpa kebenaran bertulis dan Seksyen 107(b) iaitu menggunakan air dari sumber tanpa kebenaran LUAS,” jelasnya ketika dihubungi.
Jamaliah menambah sampel air juga telah diambil pada 16 April lalu di kawasan yang dipercayai terjejas ketika hujan dan dihantar ke Jabatan Kimia untuk analisis lanjut.
“Kertas siasatan kini sedang dilengkapkan untuk dibawa kepada timbalan pendakwa raya bagi cadangan kompaun,” katanya.
Beliau turut menegaskan Kerajaan Negeri bersama agensi lain tidak akan berkompromi dan bertindak tegas terhadap pihak yang mencemarkan air sungai.