ad
AGENDA

Perlawanan Manchester United di Bukit Jalil pacu ekonomi, pelancongan KL

30 Mei 2025, 12:00 PM
Perlawanan Manchester United di Bukit Jalil pacu ekonomi, pelancongan KL

SHAH ALAM, 30 MEI: Kehadiran lebih 32,000 pelancong luar negara sempena perlawanan Maybank Challenge Cup 2025 antara Manchester United dan Asean All-Stars di Stadium Nasional Bukit Jalil kelmarin bukan sahaja menyemarakkan suasana bola sepak, malah turut merancakkan sektor pelancongan dan ekonomi ibu negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ProEvents dan ejen perlawanan FIFA, Julian Kam berkata tinjuan mendapati permintaan terhadap perkhidmatan penginapan, makanan dan pengangkutan di sekitar Kuala Lumpur melonjakkan sejak hujung minggu lalu.

“Sambutan luar biasa ini membuktikan potensi besar Malaysia dan rantau ini dalam menarik pelancong melalui acara sukan bertaraf antarabangsa. Ini bukan sahaja mencipta pengalaman bola sepak, tetapi juga pengalaman pelancongan menyeluruh,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Julian, limpahan ekonomi yang terhasil bukan sahaja dinikmati penggiat industri pelancongan, malah memberikan kesan positif kepada pengusaha kecil dan penjaja tempatan.

“Daripada peniaga makanan sehinggalah pemandu e-panggilan, ramai yang mendapat manfaat langsung daripada penganjuran ini. Ia adalah bukti jelas bagaimana sukan boleh menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi.

"Maybank Challenge Cup 2025 dijangka menjadi penanda aras baharu dalam usaha Malaysia memperkukuh jenamanya sebagai hab pelancongan sukan di rantau ini,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang hadir menyaksikan perlawanan dan menyampaikan trofi kemenangan kepada pasukan Asean All-Stars yang menewaskan Manchester United 1-0.

Turut hadir, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh; beberapa anggota Kabinet serta kenamaan dari negara-negara Asean.

Stadium bergema sorakan lebih 70,000 penyokong apabila pemain Myanmar, Mg Mg Lwin, menjaringkan gol tunggal kemenangan pada minit ke-71, sekali gus mencipta detik bersejarah buat bola sepak Asia Tenggara.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.