SHAH ALAM, 29 MEI: Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) mengeluarkan 19 notis pemberitahuan mengarahkan pemilik menurunkan iklan berkaitan produk vape di premis mereka.
Pihak berkuasa tempatan itu memaklumkan, arahan penurunan iklan sebelum atau pada 9 Jun itu, dikeluarkan di bawah Seksyen Undang-Undang Kecil (UUK) 7 Iklan MDKL 2007.
Tegasnya, tindakan sitaan akan dilaksanakan ke atas premis yang gagal mematuhi arahan selepas tempoh ditetapkan.
“MPKL melalui Jabatan Penguatkuasaan dan Jabatan Pelesenan melaksanakan operasi pemeriksaan lesen premis penjualan vape di beberapa kawasan sekitar Kuala Langat termasuk Banting, Telok Panglima Garang, Jenjarom dan Tanjung Sepat pada 26 dan 28 Mei.
“Ia sebahagian usaha penguatkuasaan terhadap pengiklanan dan penjualan produk vape yang tidak mematuhi peraturan,” katanya menerusi Facebook hari ini.
MPKL menegaskan, pihaknya komited memastikan kepatuhan kepada undang-undang kecil serta melindungi kesejahteraan dan keselamatan masyarakat, khususnya isu berkaitan pengiklanan produk yang boleh memudaratkan kesihatan awam.
“Notis kenyataan media daripada EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin berkaitan isu pengiklanan produk vape turut diedarkan kepada pemilik premis sebagai langkah advokasi dan kesedaran,” katanya.