SHAH ALAM, 29 MEI: Tiga daripada lima laluan Bas Smart Selangor yang terjejas hampir sebulan di bawah seliaan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) kini kembali beroperasi, kata EXCO mobiliti.
Ng Sze Han berkata laluan SJ01, SJ02 dan SJ03 telah pulih sepenuhnya, manakala usaha membaik pulih laluan SJ04 dan SJ05 sedang giat dijalankan dengan kerjasama MBSJ, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan operator bas.
[caption id="attachment_638965" align="aligncenter" width="769"] EXCO Mobiliti Ng Sze Han. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI[/caption]
“Kerajaan Negeri komited memastikan perkhidmatan Bas Smart Selangor dapat beroperasi sepenuhnya secepat mungkin demi kemudahan pengguna, termasuk pelajar yang bergantung kepada sistem pengangkutan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, Kerajaan Negeri turut mengarahkan audit dalaman menyeluruh bagi mengenal pasti punca serta kelemahan dalam pengurusan perkhidmatan tersebut.
“Teguran rasmi telah disampaikan kepada MBSJ dan semua pihak terlibat bagi memastikan penambahbaikan dapat dilaksanakan segera,” katanya.
Sze Han menegaskan, pemulihan perkhidmatan itu penting bagi mengembalikan keyakinan orang ramai terhadap pengangkutan awam serta menyokong agenda negeri dalam menjadikan bas sebagai pilihan utama mobiliti rakyat.