ad
EXCO

EXCO: Kes denggi di Selangor terus menurun, usaha bersepadu berhasil

29 Mei 2025, 4:30 PM
EXCO: Kes denggi di Selangor terus menurun, usaha bersepadu berhasil
EXCO: Kes denggi di Selangor terus menurun, usaha bersepadu berhasil

Oleh Dewi Abdul Rahman

SHAH ALAM, 29 MEI: Situasi demam denggi di Selangor semakin terkawal apabila jumlah kes dan kematian akibat wabak itu terus menunjukkan trend penurunan ketara tahun ini.

EXCO kesihatan awam berkata sebanyak 519 kes direkodkan sepanjang Minggu Epidemiologi ke-21 (ME21) iaitu dari 18 hingga 24 Mei, menurun 8.3 peratus berbanding 566 kes pada minggu sebelumnya.

[caption id="attachment_670420" align="aligncenter" width="812"] EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin berucap dalam Majlis Perasmian Hari Psikologi dan Hari Terbuka Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam Selangor (Akrab) Perkhidmatan SUK Selangor di Dewan Jubli Perak, Shah Alam pada 28 Oktober 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR[/caption]

“Secara kumulatif, 11,003 kes demam denggi telah dicatatkan di Selangor sehingga ME21 yang menunjukkan penurunan ketara sebanyak 66 peratus berbanding 21,316 kes dalam tempoh sama tahun lalu,” kata Jamaliah Jamaluddin dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut memaklumkan bilangan kematian juga menurun kepada hanya dua kes berbanding 11 kematian dalam tempoh yang sama pada 2023.

Katanya, daerah Petaling kekal mencatat jumlah kes tertinggi dengan 178 kes, diikuti Klang (119 kes) dan Hulu Langat (92 kes).

“Trend penurunan dicatatkan di beberapa daerah utama seperti Kuala Selangor (-24%), Klang (-16.2%) dan Gombak (-15.4%) berbanding minggu lalu,” jelasnya.

Menurut Jamaliah, jumlah lokaliti wabak aktif juga menurun kepada 190 berbanding 192 minggu sebelumnya, manakala bilangan titik panas turut berkurang daripada 14 kepada 13.

“Kawasan paling banyak lokaliti wabak aktif masih tertumpu di Petaling (77 lokaliti), diikuti Klang (55) dan Hulu Langat (34)

"Dari segi mukim, Klang mencatat jumlah kes tertinggi minggu tersebut dengan 98 kes, diikuti Damansara (69 kes) dan Petaling (66 kes),” katanya lagi.

Justeru, Jamaliah berkata trend penurunan ini membuktikan keberkesanan tindakan bersepadu antara Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, pihak berkuasa tempatan, agensi berkaitan dan komuniti setempat dalam usaha membendung wabak.

“Bagaimanapun, orang ramai perlu terus berwaspada dan memastikan kawasan kediaman serta persekitaran sentiasa bebas daripada tempat pembiakan Aedes, terutama menjelang musim hujan,” tambahnya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.