ad
AGENDA

Kisah hidup tokoh sastera dibukukan, jadi panduan generasi muda

29 Mei 2025, 11:19 AM
Kisah hidup tokoh sastera dibukukan, jadi panduan generasi muda
Kisah hidup tokoh sastera dibukukan, jadi panduan generasi muda

Oleh Dewi Abdul Rahman

KUALA LUMPUR, 29 Mei: Perjalanan hidup tokoh terkenal dalam bidang kesusasteraan diceritakan dengan penuh penghayatan menerusi karya "Abdullah Hussain: Tukang Cerita Bergelar Pujangga".

Bukan bacaan ringan, namun gaya olahan santai naskhah ini mampu membawa pembaca menyelami cabaran dan liku-liku kehidupan Abdullah yang meninggalkan impak besar dalam dunia kesusasteraan serta pemikiran.

Penulisnya, Zaleha Ahmat mengambil masa enam tahun untuk mendalami kehidupan sasterawan ternama itu, termasuk mencerap pelbagai dimensi kehidupan daripada aspek peribadi, latar budaya dan sumbangan beliau kepada dunia kesusasteraan.

“Lebih sukar adalah untuk menghasilkan isi cerita bagaimana kita nak menulis tentang seseorang tokoh yang sudah sangat masyhur dan terkenal.

"Soal peribadinya, soal latar belakang kehidupan, pengkaryaan, dunia, budaya dan sosial, itu bagaimana kita nak sampaikan," ujarnya pada majlis pelancaran buku itu di WTC Kuala Lumpur semalam.

Menurut Zaleha, beliau percaya pengalaman tokoh terdahulu seperti Abdullah dapat dijadikan pedoman, walaupun tidak semua aspek kehidupannya selari dengan realiti generasi masa kini.

“Kita harus ada satu panduan ataupun pedoman daripada orang-orang yang memang telah melalui kehidupan jauh lebih awal daripada kita.

"Dan kehidupan mereka itu sama ada selaras atau tidak dengan kita itu satu soal lain, yang penting itu boleh dijadikan garis panduan bagaimana kita bertindak dalam kehidupan sekarang," katanya.

Berkongsi lanjut, Zaleha turut menggalakkan generasi muda untuk menjadikan pembacaan biografi sebagai sumber inspirasi dalam membina jati diri.

“Saya kurang pasti generasi sekarang ini, bidang bacaannya apa, tapi saya syorkan untuk menjadi orang hebat, bacalah tentang orang-orang hebat daripada biografi atau autobiografi mereka.

"Kadang-kadang generasi kita tidak suka pakai pen dan kertas mereka terlalu gemar yang segera," nasihatnya penuh bermakna.

[caption id="attachment_703257" align="alignnone" width="786"] Penulis Zaleha Ahmat (dua, kiri) dan Sasterawan Negara Dato' Dr Zurinah Hassan (tiga, kanan) pada majlis pelancaran buku Abdullah Hussain: Tukang Cerita Bergelar Pujangga di Dewan Tun Hussein Onn, WTC Kuala Lumpur pada 28 Mei 2025. Foto DEWI ABDUL RAHMAN/MEDIA SELANGOR[/caption]

Sementara itu, Sasterawan Negara Dato' Dr Zurinah Hassan yang memuji karya berkenaan kerana berjaya menghubungkan kisah hidup Abdullah yang terkait pelbagai peristiwa penting dalam sejarah negara.

“Beliau hidup dalam zaman penuh fenomena seperti perang dunia kedua.

"Pengalaman Abdullah Hussain sangat unik, penuh drama, serta memberi inspirasi dan secara peribadi, hubungan saya dengan keluarga Allahyarham turut membentuk kehidupan saya,” kata Zurinah yang hadir merasmikan pelancaran biografi berkenaan.

Buku setebal lebih 300 muka surat ini menyusun kisah hidup Abdullah secara kronologi, selain mengangkat peristiwa penting yang mungkin tidak dimuatkan dalam autobiografi sebelum ini.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.