ad
AGENDA

PM: Kecekapan, semangat berpasukan faktor kejayaan Malaysia tuan rumah Asean

29 Mei 2025, 10:18 AM
PM: Kecekapan, semangat berpasukan faktor kejayaan Malaysia tuan rumah Asean

PUTRAJAYA, 29 MEI: Kecekapan, dedikasi dan semangat kerja berpasukan semua pihak menjadi faktor utama kejayaan Malaysia sebagai tuan rumah Sidang Kemuncak Asean ke-46, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata segala urusan berjalan lancar hasil komitmen luar biasa daripada jentera kerajaan, termasuk rakyat yang memahami keperluan Malaysia dalam menganjurkan sidang kemuncak berkenaan.

“Saya lihat di semua peringkat, anak-anak kita, penjawat awam, semuanya hebat. Dari lapangan terbang, perbarisan, polis, Imigresen, MAHB (Malaysia Airports Holdings Bhd), pengurusan hotel, Kementerian Luar yang menyelaraskan, (hingga) Jabatan Perdana Menteri yang menguruskan protokol.

“Saya pun pening dengan protokol, tapi saya hormat apa yang pegawai arahkan perdana menteri. Saya ikut (semua aturan protokol), kenapa? Sebab kita negara yang ada peraturan dan bekerja sebagai pasukan,” katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.

Turut hadir, kedua-dua Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.

Sidang Kemuncak Asean ke-46 berakhir 27 Mei selepas beberapa siri pertemuan peringkat tinggi bertujuan memperkukuh kerjasama serantau dan perkongsian strategik.

Sepanjang dua hari, pemimpin ASEAN menyertai beberapa mesyuarat penting termasuk Sidang Kemuncak Asean-GCC ke-2, Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China pertama, dan Sidang Kemuncak Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) ke-16.

Anwar turut menyentuh tentang kerjasama pemimpin negara Asean dalam membuat keputusan kolektif tanpa menjejaskan kepentingan negara masing-masing.

“….kemudian kita kena putuskan tentang persefahaman dalam menghadapi tarif Presiden Trump (Presiden Amerika Syarikat Donald Trump). Setiap negara ada strategi masing-masing yang akan ada hubungan dua hala. Tetapi kita juga nak pertahankan kepentingan lebih 650 juta populasi negara Asean.

“...dan jangan ada satu keputusan dibuat oleh Malaysia merugikan negara lain, atau yang dibuat oleh Vietnam (sebagai contoh) merugikan negara lain. Kita kerja sebagai pasukan,” katanya.

Malaysia sebagai Pengerusi Asean 2025 dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan” menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, menandakan kali kelima negara memegang jawatan pengerusi selepas 1977, 1997, 2005 dan 2015.

-- BERNAMA

 

 

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.