Oleh Ufairah Tarmidzi
KAJANG, 28 MEI: Universiti Islam Selangor (UIS) terus memperkukuh iltizam terhadap amalan tadbir urus telus dan berakauntibiliti menerusi peluncuran Polisi Integriti UIS sebagai langkah penting membina sistem pencegahan rasuah.
Naib Canselornya Dato’ Prof Dr Mohd Farid Ravi Abdullah berkata pelaksanaan polisi itu bukan sekadar menjadi dokumen rasmi tetapi ia langkah strategik UIS ke arah membudayakan etika kerja profesional dan berintegriti tinggi.
“Polisi tersebut merangkumi Kod Etika Pegawai, Prosedur Pengurusan Aduan Integriti serta empat Polisi Integriti antaranya Polisi Konflik Kepentingan dan Polisi Antirasuah yang menjadi tonggak kepada pelaksanaan sistem integriti secara menyeluruh.
“Insya-Allah, selepas kita mendapatkan pandangan dan nasihat daripada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki, kita akan ambil langkah sewajarnya untuk mewujudkan unit integriti UIS sendiri.
[caption id="attachment_703169" align="aligncenter" width="964"] Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki bersama Naib Canselor Universiti Islam Selangor Dato’ Prof Dr Mohd Farid Ravi Abdullah menandatangani ikrar polisi integriti di Program Wacana Integriti dan Majlis Peluncuran Polisi Integriti Universiti Islam Selangor pada 28 Mei 2025. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
“Unit integriti itu juga akan diletakkan di bawah pemantauan ahli lembaga pengarah atau badan pengurusan tadbir urus supaya lebih telus dari sudut pemantauan”, katanya.
Beliau berkata demikian selepas perasmian Peluncuran Polisi Integriti Universiti Islam Selangor (UIS) oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki di Auditorium Dr Zainudin Jaffar di sini, hari ini.
Peluncuran Polisi Integriti itu turut disusuli dengan sesi menandatangani dan bacaan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) oleh warga UIS sebagai simbol komitmen bersepadu dalam membanteras rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
Sementara itu, Azam berkata SPRM menyambut baik usaha UIS membangunkan struktur tatakelola integriti yang lebih sistematik untuk memperkukuh kebertanggungjawaban di semua peringkat.
Menurut beliau, SPRM juga bersedia memberi khidmat nasihat selain tenaga pakar kepada UIS sebagai sebuah institusi pendidikan Islam dalam memastikan nilai integriti itu dihayati, difahami dan diamalkan.
“Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada UIS kerana berjaya mengadakan satu polisi integriti dalam usaha mewujudkan suasana kerja yang telus dan beretika.
“SPRM akan sentiasa bekerjasama dan menghulurkan bantuan apa jua yang patut kepada mereka dalam pelaksanaan polisi terkini,” tambahnya.
[caption id="attachment_703170" align="aligncenter" width="976"] Warga Universiti Islam Selangor (UIS) membaca Ikrar Bebas Rasuah (IBR) dalam Program Wacana Integriti dan Majlis Peluncuran Polisi Integriti Universiti Islam Selangor pada 28 Mei 2025. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR[/caption]